Ahad, 5 April 2020 | 5:55pm
Ayob (tiga dari kiri) mengumumkan inisiatif Tabung #ArtisJagaArtis bagi membantu penggiat seni sepanjang tempoh PKP. Foto Ihsan Ayob Abd Majid
Ayob (tiga dari kiri) mengumumkan inisiatif Tabung #ArtisJagaArtis bagi membantu penggiat seni sepanjang tempoh PKP. Foto Ihsan Ayob Abd Majid

COVID-19 : Tabung #ArtisJagaArtis bantu penggiat seni

KUALA LUMPUR: Muzika Malaysia dan Konsortium Irama (IRAMA) melancarkan Tabung #ArtisJagaArtis bagi membantu anak seni yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid berkata, sokongan peminat seni sangat diperlukan bagi tujuan mengumpul dana tabung berkenaan.

“IRAMA turut melancarkan program live setiap hari di Facebook (FB) Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia bagi mengumpul dana.

“Artis membuat persembahan dari rumah selama 15 minit dan merakam aksi untuk dikongsi kepada peminat melalui FB Konsortium Irama pada tarikh dan masa ditetapkan.

“Ini bagi menggalakkan peminat menyokong usaha artis yang membuat persembahan selain mengumpul dana membantu mereka yang terkesan akibat situasi semasa,” katanya kepada BH Online.

Idea menubuhkan Tabung #ArtisJagaArtis tercetus sejak pertengahan bulan lalu. Sehingga kini, beberapa artis bersetuju untuk turut serta dalam projek amal ini.

Antara artis yang sudah membuat persembahan adalah kumpulan Warisan, Aalan Ahmad Sweet Child, Rahmat Tohak dan Krill Rashid.

Selain itu, kata Ayob, Muzika Malaysia dan IRAMA mewujudkan Tabung Bantuan Kecemasan Kemalangan Penggiat Seni Muzik.

“Tabung ini bertujuan membantu penggiat seni muzik yang hilang punca pendapatan sepanjang PKP dan ditimpa kemalangan ibarat ‘sudah jatuh ditimpa tangga’.

“Malah tabung kemalangan ini wujud selepas kami mendapat berita Ali XPDC ditimpa kemalangan.

“Namun, ketika itu, Ali meminta kami merahsiakan perkara itu. Kini kami wujudkan bagi membantu artis lain yang menimpa nasib sama,” katanya.

Bagi yang ingin membantu insan seni bolehlah memberi sumbangan melalui akaun Kongres Muzika Malaysia.

Sementara itu, IRAMA turut berterima kasih atas inisiatif kerajaan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat.

“IRAMA dimaklumkan bantuan sara hidup kumpulan B40 adalah termasuk golongan artis merangkumi penyanyi hingga penghibur jalanan.

“Kami bersyukur kerana kerajaan prihatin terhadap nasib insan seni yang berpendapatan rendah. Mereka yang layak dibantu akan mendapat sebahagian hak daripada pakej rangsangan ini.

“IRAMA akan mengambil inisiatif untuk menggerakkan pelbagai bantuan sokongan tambahan kepada penggiat seni tanah air antaranya pelancaran Tabung #ArtisJagaArtis.

“Kami ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang tampil membantu mereka yang terkesan dengan wabak COVID-19 dan pelaksanaan PKP,” katanya.

Berita Harian X