Isnin, 2 March 2020 | 3:00pm
Lisa Surihani menganggap Allahyarham Norazian Mohd Zahir banyak membantu ketika awal pembabitannya dalam dunia pengacaraan. - Foto Instagram Lisa Surihani
Lisa Surihani menganggap Allahyarham Norazian Mohd Zahir banyak membantu ketika awal pembabitannya dalam dunia pengacaraan. - Foto Instagram Lisa Surihani

Bekas penerbit AF meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Bekas penerbit program realiti Akademi Fantasia, Norazian Mohd Zahir menghembuskan nafasnya terakhir di Pusat Perubatan Prince Court pada jam 6.17 pagi ini.

Allahyarham Norazian, 39, meninggal dunia selepas bertarung dengan penyakit kanser limfoma darah sejak tahun lalu. Pemergian Azian ternyata dirasai beberapa rakan artis yang pernah bekerjasama dengannya. Antaranya, Datuk Aznil Nawawi, Lisa Surihani, Rozita Che Wan, Nora Danish, Nabil Ahmad dan ramai lagi.

Selain Akademi Fantasia, Azian pernah menerbitkan beberapa program hiburan lain termasuklah HBO Sentral, Lara Oh Lara, The House Che Ta, Tom Tom Bak dan banyak lagi.

Lisa berkata, dia terkejut menerima khabar duka pemergian Azian sewaktu solat subuh, pagi tadi. Arwah adalah insan yang banyak membantu pada awal pembabitannya dalam bidang pengacaraan.

“Masya-Allah, betapa Allah menyayangimu. Saya mengagumi semangatnya. Dia adalah penyumbang terbesar pada awal kerjaya pengacaraan saya.

“Dia memimpin tangan dan mengajar saya mengenai produksi televisyen. Dia juga mempercayai kebolehan saya dalam pengacaraan, walaupun berkali-kali saya mencuba tetapi dia tetap percaya pada bakat saya.

“Disebabkan dia, saya mempunyai banyak memori indah sebagai pengacara bersama Astro. Saya menangis pada waktu subuh, sebaik mendapat tahu berita pemergiannya. Saya akan sentiasa mengingati pesannya. Jumpa lagi,” tulis Lisa.

Sementara itu, Nora Danish dalam entri Instagram terkejut dengan pemergian seorang sahabat yang dikasihi.

“Innalilahiwainnalilahirojiun, sekali lagi kita dikejutkan dengan kematian sahabat yang sangat dikasihi.

“Kak Yan, tenanglah kau di sana. Yang pasti Allah tak nak Kak Yan lebih sakit. Mari mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman. Kami akan sentiasa menyayangi Kak Yan. Terima kasih atas segalanya,” tulis Nora.

Jenazah Norazian akan dibawa ke Madrasatul Khairat Desa Pandan untuk disembahyangkan, sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, petang ini.

Berita Harian X