Ahad, 2 Februari 2020 | 9:21pm
Muna mengaku hubungan dengan seorang jejaka yang terjalin sejak tiga tahun lalu, akhirnya putus. Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman
Muna mengaku hubungan dengan seorang jejaka yang terjalin sejak tiga tahun lalu, akhirnya putus. Foto NSTP/Nurul Syazana Rose Razman

'Saya putus cinta lah, bukan pasal gimik'

KUALA LUMPUR: Perkongsian rakaman video yang antara lain memaparkan dirinya menangis, pantas menarik perhatian netizen kepada penyanyi Muna Shahirah.

Jarang berkongsi kisah peribadi di laman sosial, aksi Muna didakwa gimik bagi mempromosikan single ketiganya, Suratan Luka nukilan Sharon Paul dengan lirik dihasilkan Fedtri Yahya.

Namun, artis naungan FMC Music ini menafikan aksi menangis dibuat-buat. Sebaliknya, Muna mengaku emosinya terganggu selepas putus cinta dengan jejaka yang dikenalinya sejak tiga tahun lalu.

“Emosi saya terganggu akibat putus cinta. Orang yang tidak tahu tuduh saya buat gimik kerana lagu baharu dilancarkan. Ada juga yang sindir konon nyanyi lagu sedih, akhirnya ditinggalkan kekasih.

“Hakikatnya, saya benar-benar terluka dan ditinggalkan kekasih yang kebetulan sama dengan kisah dalam lagu Suratan Luka,” katanya sambil menambah bekas kekasihnya juga mencari rezeki dalam bidang seni.

Muna yang popular dengan lagu Teguh Setia, mengaku jarang berkongsi kisah peribadi namun tidak keberatan bercerita hubungannya dengan bekas kekasih agak rumit.

“Masalah kami cukup rumit dan segala-galanya bagai telur di hujung tanduk. Gara-gara putus cinta, saya turun berat badan lapan kilogram dalam tempoh seminggu.

“Saya ambil masa lebih sebulan untuk pulih dan kuat. Saya anggap kami sudah tiada jodoh dan sulit jika diteruskan,” katanya.

Muna mengaku sepanjang tempoh bersedih, dia hanya berpura-pura gembira dan melupakan apa yang berlaku setiap kali menyanyi di pentas.

Berita Harian X