Isnin, 27 Januari 2020 | 6:20pm
Anak sulung, Wan Monaliza akan menjaga ibunya, Sharifah Aminah yang separuh koma, selepas dibawa pulang ke rumah, esok. Foto NSTP/Aziah Azmee
Anak sulung, Wan Monaliza akan menjaga ibunya, Sharifah Aminah yang separuh koma, selepas dibawa pulang ke rumah, esok. Foto NSTP/Aziah Azmee

Tunggakan penjagaan Sharifah Aminah akan dilangsai

KUALA LUMPUR: Pelakon veteran, Sharifah Aminah Syed Abdullah, 75, dijangka dibawa pulang ke rumah untuk dijaga anak kandungnya, esok.

Urusan membawa keluar Sharifah Aminah dikendalikan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) yang akan melangsaikan tunggakan penjagaan pelakon dan penerbit itu, atas bantuan beberapa individu.

Presidennya, Rahim Jailani berkata, pihaknya dimaklumkan, sejak dimasukkan ke pusat jagaan warga emas itu, sebanyak RM10,000 dibelanjakan untuk mengurus pelakon veteran itu.

“Dalam mencari penyelesaian, persatuan memohon jasa baik dan budi bicara pengurusan pusat penjagaan warga emas itu untuk mengurangkan jumlah tunggakan.

“Kami berusaha membantu, namun persatuan tidak memiliki dana yang banyak. Alhamdulillah, selepas berbincang dan meminta diskaun, pengurusan premis terbabit mengurangkan tunggakan kepada RM7,000.

“Alhamdulillah, dengan bantuan Datuk DJ Dave menerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) yang menghulur RM2,000 dan Datuk Yusof Haslam sebanyak RM1,000, kita mampu membayarnya,” katanya sambil menambah persatuan mengumpul baki RM4,000 untuk melangsaikan tunggakan itu.

BH Online semalam melaporkan, Sharifah Aminah terlantar dalam keadaan separuh sedar di sebuah pusat jagaan warga emas di ibu negara, sejak setahun lalu.

Sharifah Aminah yang aktif sejak 1960-an, ditempatkan di pusat jagaan itu oleh anak-anak bagi membolehkan beliau mendapat penjagaan khusus.

Anak sulungnya, Wan Monaliza Jamali, 52, dilaporkan berkata, dia dan adiknya sepakat menempatkan ibu mereka di premis berkenaan, namun keadaan kewangan ketika ini, tidak mengizinkan dirinya melunaskan bayaran bulanan.

Rahim berkata, pihaknya tahu keadaan Sharifah Aminah atau mesra disapa ‘Kak Pah’ kerana dia adalah ahli PKAVM.

“Setahu kami, Kak Pah sudah dua tahun menanggung sakit. Sebelum ini, dia ditempatkan di sebuah hospital di Cheras selama berbulan-bulan.

“Namun, apa yang kami tahu, disebabkan masalah kewangan keluarganya, Kak Pah dipindahkan ke pusat penjagaan warga emas terbabit. Persatuan sebelum ini ada membantu Kak Pah sedaya mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Sharifah Aminah yang membintangi filem Mama Oh Mama dan Esok Untuk Siapa mengalami pendarahan otak dan serangan angin ahmar. Beliau rebah di sebuah restoran ketika menikmati makan malam bersama beberapa teman rapat pada September 2018.

Berikutan itu, Sharifah Aminah dikejarkan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) dan terlantar selama empat bulan.

Atas persetujuan bersama, anak-anak terpaksa menghantar Sharifah Aminah ke pusat jagaan warga emas itu.

Berita Harian X