Sabtu, 14 September 2019 | 9:02am
PELAKON dan penyanyi, Arja Lee, kembali bergelar pelajar apabila diterima mengikuti kursus peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di UPSI, Tanjung Malim. - Foto ihsan Arja Lee
PELAKON dan penyanyi, Arja Lee, kembali bergelar pelajar apabila diterima mengikuti kursus peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di UPSI, Tanjung Malim. - Foto ihsan Arja Lee

Arja Lee teruja kembali ke dewan kuliah

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Arja Lee, teruja kembali bergelar pelajar apabila memulakan kursus peringkat Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, semalam.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 36, menunggu selama enam tahun untuk kembali ke dewan kuliah selepas menamatkan Ijazah Sarjana Muda Lakonan dan Pengarahan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

“Sebenarnya, sudah lama saya mencari peluang untuk menyambung pengajian. Saya tamat belajar di USM pada 2013 dan Alhamdulillah, selepas memohon secara dalam talian, lebih sebulan yang lalu, saya mendapat berita baik daripada UPSI.

“Saya jadi lebih teruja apabila berpeluang menyambung pengajian dalam bidang yang digemari.

“Saya menyimpan impian untuk bergelar pensyarah dalam jurusan Seni Persembahan. Justeru, saya berharap pengajian di UPSI ini antara langkah tepat yang diambil bagi merealisasikan impian saya itu,” katanya kepada BH Online.

ARJA teruja menyambung pengajian di UPSI. - Foto Instagram Arja Lee
ARJA teruja menyambung pengajian di UPSI. - Foto Instagram Arja Lee

Kata Arja juga, jika tiada aral, dia akan menamatkan pengajiannya pada 2021.

Difahamkan menjadi selebriti pertama mengikuti pengajian dalam bidang terbabit di pusat pengajian tinggi itu, Arja enggan mendabik dada, sebaliknya berterima kasih kepada UPSI yang membuka peluang untuknya menimba ilmu di situ.

Sementara itu, walaupun terikat dengan jadual kuliah pada setiap Jumaat dan Sabtu, Arja tidak mengetepikan kerjaya seni, malah berusaha membahagikan waktu dengan sebaiknya.

“Saya membayar sendiri yuran pengajian, tanpa bantuan geran ataupun biasiswa, jadi saya perlu bekerja. Saya tetap akan berlakon. Malah, ketika ini saya masih melunaskan penggambaran drama untuk siaran slot Lestary TV3, Pesan Pada Hati. Bulan hadapan, saya akan menjayakan drama siaran RTM pula.

“Insya-Allah, sekiranya bijak membahagikan masa, semuanya pasti berjalan dengan baik, biarpun saya perlu berulang alik ke Tanjung Malim. Setakat ini semua pihak memberikan kerjasama yang baik, termasuk pensyarah dan pelajar lain. Saya percaya, jika kita berbudi bahasa, pasti ramai yang sudi membantu,” katanya.

Berita Harian X