Rabu, 1 Mei 2019 | 5:30pm
NOH tidak kisah ambil masa lama untuk hasilkan lagu berkualiti. Foto Nik Hariff Hassan
NOH tidak kisah ambil masa lama untuk hasilkan lagu berkualiti. Foto Nik Hariff Hassan

Kumpul duit empat tahun siapkan Debu Bercahaya

KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh mengakui, kekangan kewangan membuatkan dia terpaksa mengambil masa sehingga empat tahun untuk menyiapkan single solo terbarunya, Debu Bercahaya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Angin Kencang itu berkata, biarpun terpaksa menanti lama, dia puas dapat merealisasikan impian besar itu dengan titik peluhnya sendiri.

“Orang selalu ingat hidup artis sering dilimpahi kemewahan, tetapi mereka tidak tahu, kami juga melalui pelbagai kepayahan dalam meneruskan perjuangan. Ada juga yang menyangka, apabila bertemu jodoh dengan pasangan dari keluarga berada, sekelip mata saya jadi kaya.

“Itu hanya andaian mereka kerana hakikatnya, saya berusaha keras mengumpul duit untuk mendapatkan apa yang saya cita-citakan. Saya tidak kisah menanti lama kerana untuk menghasilkan karya yang baik, memang memerlukan sedikit masa,” katanya.

Noh yang ditemui pada majlis pelancaran klip video karaoke Debu Bercahaya berkata, lagu itu ditulis berdasarkan kejadian kemalangan jalan raya yang menimpa kawan baiknya, tiga tahun lalu.

“Saya melihat sendiri kesedihan isterinya apabila dia dibawa keluar dari bilik pembedahan selepas kakinya dipotong. Insiden itu begitu menyentuh hati hingga memberikan saya ilham untuk menulis lagu ini.

“Dalam berkarya, saya suka menghasilkan lagu berdasarkan kisah benar,” katanya yang merakamkan Debu Bercahaya di sebuah studio di Indonesia.

Bertanya mengenai perkembangan Hujan, Noh menegaskan, hubungan mereka masih utuh, meskipun dia pernah memberi bayangan menerusi Instagram, AG Coco yang juga gitaris bakal meninggalkan kumpulan itu.

“Saya tidak boleh memberi komen mengenai perkara ini. Biarlah kenyataan itu keluar dari mulut AG sendiri. Mungkin kami akan membuat kenyataan rasmi ketika menjayakan Pesta Raya yang menggabungkan Hujan dan Padi di Singapura pada 30 Jun nanti.

“Hujan, bagaimanapun sedang dalam pembikinan album baharu yang dijangka menemui peminat selepas raya nanti. Buat masa ini, AG sibuk menguruskan kumpulan Masdo kerana dia menjadi produser album mereka. Jadi, kami beri ruang kepada mereka terlebih dahulu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Noh berkata, dia akan melancarkan jenama pakaiannya, Hikari Riders merangkumi baju T, jaket, tali pinggang dan pelbagai aksesori lain pada Jumaat ini.

“Hikari Riders menggambarkan diri saya sebagai penyanyi indie yang mempunyai minat menunggang motosikal. Koleksi ini juga menjadi hadiah buat peminat, terutama Raingers yang suka mengikut cara kami berpakaian,” katanya.

Berita Harian X