Isnin, 21 Januari 2019 | 11:30am
Ifa ditemani suami dan anak dijadual berangkat menunaikan umrah pada 4 Februari depan. Foto Ihsan Ifa Raziah
Ifa ditemani suami dan anak dijadual berangkat menunaikan umrah pada 4 Februari depan. Foto Ihsan Ifa Raziah

Tunai umrah, Ifa tangguh projek

KUALA LUMPUR: Mimpi indah lambaian Kaabah menggerakkan hati Ifa Raziah menunaikan umrah buat kali pertama, bulan depan.

Ifa memberitahu, dia yang bakal ditemani suami dan anak lelaki, dijadual berangkat ke Tanah Suci pada 4 Februari depan.

“Sebelum ini, saya pernah terasa mahu buat ibadat (tunaikan umrah) tapi ada sahaja halangan.

“Namun, baru-baru ini, saya bermimpi melihat keindahan Tanah Suci Makkah dan Madinah. Mimpi itu terus menjadi petanda untuk saya tidak melengahkan lagi perkara ini.

“Bangun pagi, saya terus bulatkan hati dan beritahu suami hasrat mengerjakan umrah. Saya terus hubungi agensi yang menawarkan pakej umrah dan bertanya soal tiket.

“Ketika itu, bimbang kecewa kerana semuanya dibuat pada saat-saat akhir. Siapa sangka, semuanya ‘cantik’ dan bagai dipermudahkan,” katanya kepada BH Online.

Ifa berkata, dia turut mengundang seorang ustaz untuk memberi penerangan mengenai persiapan menjadi tetamu Allah di rumahnya, baru-baru ini.

Tambah pemenang dua kali trofi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ini, pada mulanya dia berniat membawa ibu mentuanya mengerjakan umrah bersama.

“Namun, berikutan keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan, hanya suami dan anak dapat pergi,” katanya yang bercuti di London, England, bulan lalu, selepas kira-kira 20 tahun tidak menjejakkan kaki di kota itu.

Berikutan rancangan menunaikan umrah, Ifa terpaksa menunda beberapa projek termasuk merakamkan lagu ciptaan komposer Indonesia, Ressa Herlambang.

Tambah Ifa, dia sepatutnya berada di Jakarta bagi berbincang mengenai penghasilan single baharu itu dengan penyanyi dan pencipta terbabit.

Berita Harian X