Isnin, 10 Disember 2018 | 2:14pm
AZIZ enggan meletak harapan terlalu tinggi terhadap kutipan XX Ray 3 yang bakal menemui penonton, bulan depan. - Foto Khairul Azhar Ahmad
AZIZ enggan meletak harapan terlalu tinggi terhadap kutipan XX Ray 3 yang bakal menemui penonton, bulan depan. - Foto Khairul Azhar Ahmad

XX Ray masih ada peminat - Aziz M Osman

PETALING JAYA: Pengarah prolifik, Aziz M Osman yakin jenama XX Ray yang dicetuskannya 27 tahun lalu masih mempunyai kelompok peminat tersendiri.

Bakal tampil dengan sekuel, XX Ray 3, bulan depan, Aziz, 56, enggan meletakkan harapan tinggi untuk meraih kutipan hebat, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada peminat.

"Saya tidak risau sangat mengenai kutipan kerana niat saya, cuma mahu menghasilkan yang terbaik.

“Kutipan hanyalah angka dan saya buat filem kerana minat dan kecintaan terhadap bidang ini.

"Saya pilih untuk hasilkan XX Ray kerana judul ini begitu relevan dengan diri, selain penonton sudah sebati dengan karya fiksyen sains yang pernah saya hasilkan," katanya.

Ditemui pada sesi bersama peminat sempena pelancaran figura rasmi karakter Profesor Amir Hamzah, Aziz berkata, sambutan awal yang diberikan membuktikan filemnya masih mempunyai permintaan.

Pada sesi itu, hampir 200 unit mini karakter itu terjual membuatkan Aziz percaya, XX Ray 3 yang mengetengahkan jalan cerita berbeza dan pelakon muka baharu mampu menarik khalayak ke pawagam.

"Saya olah filem ini dengan memberi sedikit bayangan mengenai produksi terdahulu supaya penonton semasa memahami.

"Saya pernah bereksperimen, namun dikecam apabila penonton tidak berpuas hati kerana saya mengetengahkan karya yang berbeza dengan produksi yang sudah sebati di minda mereka.

“Selepas membuat kajian, saya dapati ramai peminat XX Ray yang menantikan kemunculan edisi terbaru filem itu," katanya.

Filem yang menjalani dua fasa penggambaran bermula 2015 dan berakhir pada hujung 2017 menampilkan Izzue Islam, Nonny Nadirah, Saiful Apek, Datuk Jalaluddin Hassan serta Datuk Rahim Razali, selain Aziz sebagai pelakon utama.

"Filem ini adalah simbolik penyatuan dan ia memang sesuai ditayangkan ketika ini.

“Mungkin ada sedikit kebimbangan kerana aliran penonton semasa yang selesa memilih filem yang selamat.

“Saya pula lebih bimbang jika penonton takut untuk mencuba sesuatu yang baharu. Saya pula tidak mahu menghasilkan karya selamat kerana tidak puas," katanya.

Berita Harian X