Ahad, 6 Mei 2018 | 7:31pm
PENYANYI, Siti Sarah Raisuddin di Majlis Pengumuman Showcase Siti Sarah di Metropolitan Square, Damansara Perdana. -Foto Salhani Ibrahim
PENYANYI, Siti Sarah Raisuddin di Majlis Pengumuman Showcase Siti Sarah di Metropolitan Square, Damansara Perdana. -Foto Salhani Ibrahim

'Buat lagu sampai gaduh'

KUALA LUMPUR: Lagu Semakin ciptaan dan lirik dihasilkan suami ternyata mempunyai nilai sentimental buat penyanyi, Siti Sarah Raisuddin, 34.

Mengapa tidak, daripada berpuluh-puluh lagu yang diberikan, akhirnya naskhah ciptaan 'orang sebelah' menjadi pilihannya.

Bukan kerana hasil 'air tangan' insan cukup disayanginya, Shuib Sepahtu, menyebabkan Sarah terpaksa menjaga hati suami, sebaliknya lagu Semakin begitu melekat di jiwanya.

Sarah menerima lebih 50 lagu ciptaan komposer baharu dan lama selepas mengakhiri program realiti, Gegar Vaganza (GV) musim ketiga, dua tahun lalu. Bagaimanapun, semua lagu yang diterima ditolak kerana tidak memenuhi cita rasa dan jiwanya.

Sambil ketawa, Sarah mengakui:

"Tidak mudah bekerjasama dengan suami. Ia sering kali mencetuskan pergaduhan. Sedang buat lirik pun masih boleh bertelagah.

"Ada kala keadaan memaksa Shuib memegang wajah saya sambil mengingatkan, orang Malaysia suka seni kata lagu yang jelas dan ringkas.

"Saya pula tidak suka lirik berterus-terang, sebaliknya gemar mendengar lirik yang mempunyai maksud tersirat. Mulanya, saya tidak menyenangi lirik dihasilkan suami. Bagaimanapun, suami menggunakan kuasa 'veto' memujuk saya.

"Disokong pula oleh wakil syarikat rakaman, Indigital Music, saya akhirnya tewas," katanya kepada BH Online.

Sarah berkata, dia bukannya memiliki cita rasa kebaratan seperti anggapan setengah pihak, bahkan jati diri dan sifat kemelayuan dalam dirinya masih teguh.

"Jika saya kebaratan, tidak mungkin saya memilih Shuib sebagai pasangan hidup. Sifat kemelayuan saya masih menebal, tetapi cita rasa saya mungkin sedikit 'urban'.

"Saya sedar, jika terlalu ikutkan jiwa, saya boleh ke laut dalam. Berikutan itulah, suami selalu mengingatkan dan memberi panduan kepada saya.

"Shuib dan saya amat berbeza personaliti. Karakternya dekat di hati masyarakat. Orang kita menyukai dirinya walau ke mana dia melangkah. Saya lihat, tidak ramai orang memiliki karakter sepertinya. Sedikit sebanyak, karakter suami jadi ikutan buat saya dan anak-anak," katanya.

Penyanyi yang popular dengan Kesetiaan dan Jangan Kau Mimpi itu berkata, dia mengambil masa yang lama untuk menyiapkan rakaman lagu baharu itu.

"Inilah cabarannya selepas tujuh tahun tidak menghasilkan lagu. Tidak seperti rakaman lagu sebelum ini, Semakin mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan.

"Saya percaya, mungkin terlalu lama tidak masuk studio rakaman, ia membuatkan proses mengambil sedikit masa. Saya juga manusia biasa, ada rasa gugup dan tertanya-tanya, kenapa suara saya menjadi serba tidak kena? Adakah rasa gugup mengatasi segala-galanya sehingga suara pun menjadi lain?

"Apabila jadi begitu, mulalah menyalahkan mikrofon dan muzik yang dirasakan tidak kena. Hinggakan perkara kecil pun boleh mempengaruhi saya. Inilah saya katakan sindrom sudah lama tidak merakamkan lagu," katanya.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia amat cerewet dengan proses rakaman lagu terbabit.

"Tujuh tahun bukan tempoh yang singkat buat saya. Jadi, saya mahu memberikan hasil terbaik buat peminat yang sekian lama menunggu buah tangan terbaru.

"Saya juga amat teliti dengan penghasilan lagu ini, malah rakamannya turut dilakukan berulang kali. Selagi tidak berpuas hati dan mendapat apa yang diingini, selagi itulah rakaman semula dilakukan.

"Sampaikan, saya pula naik segan dengan penerbitnya, Aepul (Drama Band), tetapi dia sentiasa sabar dengan sikap cerewet saya. Walaupun pening melayan saya, tetapi dia faham kemahuan saya dari segi 'feel'," katanya yang baharu saja melancarkan lagu berkenaan, minggu lalu.

Berita Harian X