Rabu, 18 April 2018 | 10:16pm

Hafiz Hamidun mahu jadi kaunselor perkahwinan

KUALA LUMPUR: Kontroversi perceraian dengan usahawan kosmetik, Joy Revfa, diakui ujian terbesar dihadapi Hafiz Hamidun, selepas hampir 16 tahun membina nama dalam bidang seni.

Tidak menyangka diduga sedemikian rupa, Hafiz, 34, yang sah bercerai dengan Joy atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin pada Oktober lalu, mendakwa dirinya mengalami gangguan emosi yang teruk hingga hampir gila.

"Secara jujur, saya tidak pernah alami kontroversi berlanjutan selama tiga hingga empat bulan...bukan saja dipaparkan dalam akhbar, malah di kedai makan pun orang bercerita.

"Orang bercerita mengenai perkahwinan yang berjaya seperti pasangan Fattah dan Fazura, tetapi saya sebaliknya kerana dikaitkan dengan penghujung yang sedih," katanya kepada BH Plus.

Hafiz mendakwa dirinya hampir mengalami masalah gangguan mental akibat bersendirian menangani masalah rumah tangga.

"Sikit lagi nak jadi gila dan pakar psikiatri beritahu saya menghidap tekanan kronik...syukur apabila berjumpa pakar dan banyak meluangkan masa bersama keluarga serta kawan-kawan, saya dapat tenaga kembali," katanya.

Penyanyi, Hafiz Hamidun. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
Penyanyi, Hafiz Hamidun. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Mula bertenang dan perlahan-lahan mengumpul kekuatan, Hafiz bagaimanapun terbuka membantu rakan yang menghadapi masalah perkahwinan sepertinya.

"Apabila perkara ini berlaku, saya seboleh-bolehnya mahu memberi nasihat ikhlas kepada rakan artis supaya jangan jadi macam saya...usah ulangi kesilapan seperti saya.

"Jika ditimpa masalah, kita kena dapatkan sokongan dan pertolongan. Dulu, saya ingatkan saya kuat, jadi saya gunakan seluruh tenaga hingga memakan diri..ini tak bagus untuk kesihatan mental.

"Saya perlu berkongsi dengan keluarga dan orang yang lebih arif dan alim ulama. Disebabkan itulah saya pergi berjumpa dengan pakar psikiatri," katanya.

Tak pernah tutup pintu hati

Reda dengan ketentuan takdir, Hafiz mahu masyarakat mengambil iktibar daripada episod hitam yang dilaluinya kerana mengakui krisis rumah tangga dan perceraian mendewasakan dirinya.

"Saya banyak berhati-hati dengan apa yang dilakukan sekarang, selain belajar untuk tidak percaya semua orang...rasa ragu-ragu itu perlu ada dan apabila melalui episod itu, saya mula tahu siapa kawan dan siapa yang setia," katanya.

"Ada rakan artis berjumpa dan meluahkan rasa simpati dan saya sangat hargai apabila mendapat tahu rupanya mereka menyokong saya," katanya.

Hafiz menarik nafas lega apabila episod hitam itu berlalu dan tidak lagi dipersoalkan, malah enggan memanjangkan masalahnya bersama Joy.

Biarpun hatinya pernah remuk kerana wanita, namun pintu hati penyanyi yang popular dengan album Zikir Terapi ini untuk bercinta lagi tidak pernah tertutup.

HAFIZ Hamidun dakwa dirinya mengalami gangguan emosi sejak bercerai. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
HAFIZ Hamidun dakwa dirinya mengalami gangguan emosi sejak bercerai. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Bagaimanapun buat seketika ini dia mahukan masa untuk diri sendiri, khususnya selepas tampil dengan single terbaharu berjudul 'Jangan Berhenti' yang dihasilkan sendiri bersama komposer, Azlan Abu Hassan, yang dikatakan sebagai lagu motivasi.

"Saya cipta lagu ini bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri saya. Saya ambil masa dua minggu untuk memilih perkataan terbaik bagi menunjukkan apa yang saya alami dalam lirik.

"Lagu ini relevan kalau nak dikaitkan dengan hidup orang lain kerana setiap orang mengalami fasa naik dan turun, namun ia bukan diilhamkan daripada kisah perceraian kerana saya sudah lama tutup buku. Ia sebenarnya rumusan hidup saya pada tahun baru ini," katanya.

Aktif program kemanusiaan

Selain sibuk mempromosikan single Jangan Berhenti, Hafiz bakal ligat menjayakan program kemanusiaan sempena Ramadan yang bakal menjelma.

"Saya akan pergi ke Balkan, Australia, Jordan, Turki, Greece, Bosnia, Croatia dan beberapa destinasi lain. Sebelum ini, saya pernah katakan kepada media mengenai hajat saya mahu melancong ke luar negara, tahun ini.

"Syukur, hajat saya kesampaian... Mulai bulan ini hingga Ramadan, saya akan sibuk 'terbang' ke sana- sini," katanya.

HAFIZ Hamidun sibuk promosi single Jalan Berhenti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman
HAFIZ Hamidun sibuk promosi single Jalan Berhenti. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Klip video Hafiz Hamidun dengan single terbarunya - Jangan Berhenti. - Foto ihsan youtube
Klip video Hafiz Hamidun dengan single terbarunya - Jangan Berhenti. - Foto ihsan youtube

INFO: Single terbaru Hafiz Hamidun - Jangan Berhenti

  • Lagu diterima daripada komposer, Azlan Abu Hassan, Disember lalu.
  • Hafiz mengambil masa dua minggu menyiapkan liriknya.
  • Lagu kerjasama dengan Warner Music Malaysia itu dirakamkan, Februari lalu.
  • Single dilancarkan sejak akhir bulan lalu dan muzik videonya sudah mencapai 70,000 tontonan di YouTube.
  • Hafiz bakal melancarkan saluran rancangannya sendiri di YouTube yang menyiarkan rakaman kehidupan seharian.
  • Ketiga-tiga album Zikir Terapi dihasilkan Hafiz terjual sebanyak 1.2 juta unit dari 2011 hingga 2016.
  • Zikir Terapi sehingga kini masih mengungguli carta Top 20 di platform digital muzik seperti iTunes.
Berita Harian X