Selasa, 6 Februari 2018 | 12:24pm
 PENYANYI dan penyampai radio, Haiza (Rohaizah Nordin). - Foto Hasriyasyah Sabudin
PENYANYI dan penyampai radio, Haiza (Rohaizah Nordin). - Foto Hasriyasyah Sabudin

Kurus angkara serangan panik

KUALA LUMPUR: Siapa sangka di sebalik personaliti yang lincah, penyampai radio dan pengacara, Haiza pernah berdepan sindrom kerisauan melampau serta serangan panik hingga menyebabkan berat badannya menyusut.

Haiza memberitahu, beberapa tahun lalu, dia berdepan masalah serangan panik selain sering diburu kebimbangan yang memaksanya berjumpa doktor pakar.

"Saya tidak pernah berkongsi dengan sesiapa mengenai perkara ini. Namun, hakikatnya, disebabkan kerisauan dan serangan panik, tubuh saya susut.

"Pada suatu peringkat, saya tidak boleh bersendirian di rumah hingga perasaan jadi tak tentu arah. Lantas, saya segera mendapatkan nasihat doktor pakar selain rujukan daripada sudut kerohanian," katanya kepada BH Online.

Haiza atau nama sebenarnya, Rohaizah Nordin, 38, berkata, kekuatan diri dan sokongan keluarga termasuk teman rapat membolehkan dia mengatasi masalah itu.

"Apa yang penting, kita harus kuat melawan perasaan panik itu.

"Ramai orang fikir saya berlapar untuk kurus. Sedangkan, berat badan susut kerana serangan panik. Alhamdulillah, sekarang saya makin pulih," katanya.

Sabtu lalu, Haiza dan teman penyampai stesen radio KOOL FM, AG mengacarakan Konsert GegaRia di perkarangan parkir Plaza Angsana Mall, Johor Bahru yang dihadiri lebih 20,000 pengunjung.

Berita Harian X