Selasa, 26 Disember 2017 | 10:58pm

Buang kontroversi, Hafiz Hamidun perluas perniagaan

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun reda meneruskan kehidupan sebagai duda dengan mengadakan kerjasama erat dengan pihak pelancongan di Taiwan menerusi acara Meet Beitou Loving Taipei.

Menyifatkan program berjalan lancar, Hafiz yang turut dikenali sebagai ahli perniagaan berkata, jalinan kerjasama itu membolehkan beliau membantu mempromosikan pelancongan mesra Muslim di Taipei untuk orang Islam di Malaysia, Brunei dan Indonesia.

HAFIZ Hamidun. - Foto Saddam Yusoff
HAFIZ Hamidun. - Foto Saddam Yusoff

"Saya ambil kesempatan ketika julung kali berada di Taipei dulu untuk menjalinkan kerjasama dan bertukar-tukar nombor telefon dengan agensi percutian serta pihak hotel. Ia dikira sebagai strategi serampang dua mata.

"Di Malaysia, ada ramai pendorong (influencer) dan golongan selebriti yang boleh membantu menghebahkan hal itu. Sebab itu kali ini, saya ajak Andi dan Bella sekali.

"Pihak di sana pun mahu mempromosikan pelancongan mereka dengan hebat. Mana tahu, kita boleh berhabis-habisan melakukan promosi ini lagi pada 2018?" katanya.

Sepanjang empat hari di negara itu, tiga artis terbabit berpeluang mengunjungi Taipei Palace Museum, Taipei Grand Mosque, Menara Taipei 101, menaiki kereta kabel Maokong Gondola serta Taipei Zoo, selain mengunjungi kawasan Beitou yang terkenal dengan kolam air panas.

Sementara itu, Hafiz tidak melihat status duda yang disandangnya ketika ini sebagai sesuatu yang negatif, sebaliknya beliau berkata, dirinya sentiasa percaya segala apa yang berlaku sudah pun tertulis sebegitu.

"Sejak awal lagi, saya tidak pernah merancang pengakhiran sebegini bagi rumah tangga yang dibina. Begitupun, saya rasa hal peribadi ini sudah diselesaikan dengan cara sepatutnya. Saya pun tak pernah menganggap status sekarang menjadi sesuatu yang negatif. Saya sebaliknya percaya semua ini sudah tertulis.

"Pada saya, dengan segala apa yang terjadi, diri ini tetap orang yang sama. Kehidupan pula diteruskan seperti biasa. Tak ada alasan untuk saya bersedih, berduka atau apa sahaja. Status sebagai bekas suami atau duda tidak pernah menjadi halangan untuk saya memikirkan hal akan datang," katanya.

PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun reda meneruskan kehidupan sebagai duda.
PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun reda meneruskan kehidupan sebagai duda.

Sememangnya, 2017 menyaksikan kanvas seni Hafiz, 33, tercalar dengan beberapa kontroversi. Paling hebat, tentu sahaja isu rumah tangganya yang hanya bertahan selama beberapa bulan sebelum ia berakhir dengan perpisahan.

Perkahwinan dengan usahawan kosmetik, Siti Arifah Mohd Amin atau Jov Revfa, pada 1 Mei lalu, terlerai apabila mereka disahkan bercerai talak satu pada 25 Oktober.

Namun, Hafiz atau nama penuhnya Mohammad Hafiz Hamidun, akui ada rasa kesal dengan apa yang terjadi, terutama apabila membabitkan hal yang dirasakan tidak perlu sehingga ia bagai ditelanjangkan di media sosial dan media massa.

"Saya rasa kesal kerana benda yang sepatutnya tak perlu, namun terjadi juga. Bukan bermaksud nak menyalahkan atau menuding jari ke arah orang lain, tetapi begitulah kehendaknya.

HAFIZ menjalinan kerjasamabagi membantu mempromosikan pelancongan mesra Muslim di Taipei.
HAFIZ menjalinan kerjasamabagi membantu mempromosikan pelancongan mesra Muslim di Taipei.

"Walaupun perkahwinan pertama saya ini dirancang betul-betul, perpisahan juga yang menjadi jalan terakhirnya. Adegan malu-memalukan di media sosial dan dada akhbar juga tak patut berlaku. Itu yang buat saya bertambah kecewa.

"Saya rasa diri ini bersikap profesional. Permasalahan yang timbul sudah diselesaikan dengan cara terbaik. Saya pun ada keluarga dan kerjaya yang perlu diutamakan," katanya.

Dengan apa yang terjadi juga, ia tidak pernah menutup pintu hati Hafiz atau dirinya serik mencari cinta sejati.

"Saya tiada masalah untuk berkongsi hati dengan orang lain pada masa akan datang, sekali gus membina hidup baharu. Apa saja kemungkinan akan datang, saya bersikap terbuka," katanya ketika ditemui sewaktu mengikuti program percutian gaya Muslim di Taipei, Taiwan, baru-baru ini, bersama-sama Andi Bernadee dan Bella Nazari.

Sempat diusik apakah dirinya tidak terusik dengan memori bersama bekas isteri ketika berada di Taipei, Hafiz enggan terlalu larut dengan semua itu. Mei lalu, mereka berdua terbang ke sana bagi menjayakan rakaman program Romantika Astro.

"Saya sudah 'move on'. Walaupun melakukan aktiviti, bertemu tuan rumah dan berada di tempat sama, saya tak terfikir pun memori lalu. Saya juga tiada masalah dengan perkara sebegitu kerana saya sangat profesional.

"Malah, maklum balas ketika saya memuat naik gambar sepanjang berada di Taipei buat kali kedua pun sangat positif. Tiada pula yang mengaitkannya dengan memori lama," katanya.

INFO

  • Menutup musim 2017 dengan menghasilkan lagu untuk naib juara Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Liza Hanim.
  • Tahun ini, penyanyi Zikir Terapi itu mencipta lagu untuk beberapa artis terkenal termasuk Syamsul Yusof, Shuib Sepahtu, Datuk AC Mizal, Haida, Anis Al Idrus, Bob Yusof, kumpulan Mirwana dan penyanyi baharu, Adly Sofwan.
  • Aktif menyanyi sejak 2002 hingga kini.
  • Turut mengeluarkan pakaian di bawah jenama Haje.
Berita Harian X