Selasa, 19 Disember 2017 | 6:37pm
PENGASAS Produk D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri (kanan), bersama Nur Sajat dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Rashid (kiri). - Foto NSTP
PENGASAS Produk D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri (kanan), bersama Nur Sajat dan isteri, Datin Seri Nur Shahida Rashid (kiri). - Foto NSTP
ALIFF Syukri kini menjadi artis rakaman KRU Music.
ALIFF Syukri kini menjadi artis rakaman KRU Music.

Hilang RM400,000 bukan gimik murahan - Aliff Syukri

KUALA LUMPUR: Pengasas produk D'Herbs, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, 30, menafikan insiden kehilangan wang dan barangan berharga ketika berada di Sepanyol bagi menjalani penggambaran muzik video singlenya, Abang Nak Tegur, baru-baru ini adalah gimik bagi menarik perhatian orang ramai.

Tidak menyangka pendedahan terbabit menyebabkan dirinya dikecam oleh netizen, Aliff Syukri berkata, kehilangan beg sandang yang mengandungi wang tunai dan barangan peribadi berjumlah kira-kira RM400,000 itu bukanlah insiden rekaan.

"Tiada sebab untuk saya mereka gimik murahan sebegitu. Saya muat naik video itu pun selepas pulang ke Malaysia sebab saya tak nak orang anggap ia sebagai kifarah.

"Namun, tidak sangka pula saya dikecam sebegini rupa. Walaupun mendapat kecaman hebat, publisiti baik ataupun buruk tetap publisiti juga," katanya ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan single berkenaan, di sini hari ini.

Pada majlis itu, jutawan kosmetik terbabit juga diumumkan sebagai artis rakaman KRU Music Sdn Bhd.

Menerusi single pertama ciptaan Edry Abdul Halim itu, Aliff Syukri menampilkan rakannya yang juga usahawan produk kecantikan, Nur Sajat. Bagaimanapun, produk sulungnya sebagai penyanyi itu mendapat kritikan ramai.

Bahkan, video lirik lagu berkenaan menerima hampir 330,000 'dislike' berbanding hanya 42,000 orang yang menyukainya.

Pada 12 Disember lalu, KRU Music memuat naik pula video Abang Nak Tegur versi 2.0 yang menampilkan isteri ahli perniagaan berkenaan, Datin Seri Nur Shahida Rashid. Berbeza dengan video pertama, klip kedua mendapat 329,000 'like' dan hanya 21,000 'dislike'.

Begitupun, Aliff Syukri menafikan Abang Nak Tegur versi 2.0 dibuat selepas naskhah yang menampilkan Sajat dikecam ramai.

"Kedua-dua versi lagu ini, iaitu bersama Sajat dan juga isteri akan tetap dikeluarkan. Isteri saya pula sebenarnya tidak suka saya 'menunjuk-nunjuk', sebaliknya mahu saya fokus pada perniagaan saja. Tetapi, saya tetap ingin mencuba sebab saya memang suka menyanyi walaupun suara tak sedap.

"Saya pilih Sajat sebab dia mentee saya dalam perniagaan. Saya juga enggan membabitkan isteri kerana dia memang tidak mahu tampil dalam industri seni selepas berhenti menyanyi. Namun, kita ada perancangan untuk pelan A dan B. Isteri saya juga bukan pilihan kedua kerana memang sepatutnya kami melakukannya bertiga," katanya.

Mengenai ketiadaan Nur Shahida ketika penggambaran muzik video lagu terbabit di Sepanyol, Aliff Syukri menjelaskan, beliau bukannya tidak mahu membabitkan isterinya dalam klip itu, sebaliknya suri di hatinya kini hamil tiga bulan.

"Sebab itulah saya tidak maklumkan kenapa isteri saya tak ikut serta. Kalau ikutkan, video muzik ini menampilkan kami bertiga, namun kerana masih pada peringkat awal kehamilan, dia tak dapat turut serta," katanya.

Beliau juga berkata, dirinya tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan untuk penggambaran video dan pembikinan lagu itu kerana semuanya adalah di bawah KRU Music.

"Saya sekarang bekerja dengan mereka. Walaupun ada yang kata, saya banyak duit, jadi bolehlah buat pelbagai perkara, tetapi saya tak keluarkan apa-apa dalam projek ini.

"KRU sendiri yang menawarkan saya peluang menjadi artis rakaman mereka, bagi tempoh dua tahun. Peluang ini umpama impian yang menjadi nyata dan kalau tak meletup sekalipun, saya pasrah," katanya yang turut terbabit dalam lakonan dan bakal muncul dengan filem pertama, Badang, dan siri Toyol Ke London.

Berita Harian X