Khamis, 14 Disember 2017 | 6:39pm
PENGASAS Produk D'Herbs, Aliff Syukri bersama Nur Sajat (tengah) dan Nur Shahida. - Foto Shiraz Ali
PENGASAS Produk D'Herbs, Aliff Syukri bersama Nur Sajat (tengah) dan Nur Shahida. - Foto Shiraz Ali

Abang Nak Tegur versi Aliff, Shahida lebih digemari

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Isteri Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman, Datin Seri Nur Shahida Mohd Rashid, tidak menyangka Abang Nak Tegur versi 2.0 yang menampilkan dirinya mendapat sambutan hangat apabila video lagu berkenaan mencecah 1.1 juta tontonan.

Video muzik lagu berentak rancak ciptaan Edry Abdul Halim itu baru saja dimuat naik di laman YouTube KRU Music pada 12 Disember lalu.

Sambutan hebat terhadap nyanyian bekas anggota kumpulan nasyid Solehah itu bersama suaminya bagai memberi isyarat, ia lebih digemari netizen dan peminat berbanding versi Aliff dengan Nur Sajat.

Selain menghuni kedudukan pertama carta 'trending' YouTube Malaysia, lagu versi 2.0 itu juga hanya menerima 9,000 tanda 'dislike' berbanding 306,000 bagi versi pertama. Dimuat naik pada 23 November lalu, video versi Aliff-Nur Sajat bagaimanapun sudah meraih 3.4 juta tontonan.

ALIFF Syukri dan isteri, Nur Shahida. - Foto Nurul Shafina Jemenon
ALIFF Syukri dan isteri, Nur Shahida. - Foto Nurul Shafina Jemenon

"Saya berbuat demikian pun sekadar suka-suka, bagi memberi sokongan kepada suami. Hendak dikatakan saya menyanyi pun, tidak juga, kerana dalam video lagu itu saya seperti bercakap saja.

"Sebelum ini, memang ada yang meminta saya menyanyi semula seperti ketika bersama Solehah. Malah jika diikutkan, saya ada juga menyanyi dengan suami untuk iklan produk D'Herbs, Aura 7 Bunga," katanya.

Shahida yang berhenti menyanyi selepas mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan itu berkata, penggambaran klip terbabit dilakukan sebelum Aliff terbang ke Sepanyol.

"Penggambaran hanya mengambil masa dua jam, di rumah kami. Hanya selepas suami balik dari Sepanyol atas urusan penggambaran video muzik lagu berkenaan bersama Nur Sajat, baru pihak KRU Music memuat naik video versi kami berdua.

"Ketika mempromosikan video itu, saya sekadar memuat naiknya di laman Instagram dan enggan melihat komen yang diberikan. Jujurnya, takut juga hendak melihat kecaman netizen sekarang.

"Sebagai isteri, saya sendiri sakit hati apabila melihat suami dicerca sebegitu rupa. Tetapi, kita memang tak boleh nak tutup mulut orang. Nak kata apa pun, cakaplah.

"Namun sekarang saya sudah berani membaca komen yang rata-rata suka saya berganding dengan suami," katanya yang tidak pernah terfikir untuk kembali serius dalam bidang nyanyian.

Berita Harian X