Ahad, 29 Oktober 2017 | 2:15pm
LIZA Hanim.- Foto Nik Hariff Hassan
LIZA Hanim.- Foto Nik Hariff Hassan

Syarikat urus Che Ta, Janna Nick lamar Liza Hanim

KUALA LUMPUR: Belum pun mula bersaing di pentas musim keempat Gegar Vaganza (GV), Liza Hanim sudah 'disambar' syarikat pengurusan Laugh Out Loud (LOL) milik penyanyi Dafi dan rakan kongsinya, Afeeq.

Penyanyi Siapa Sangka Sangka Menduga itu rupa-rupanya sudah dua bulan dinaungi syarikat yang turut menguruskan kerjaya bintang popular seperti Rozita Che Wan, Janna Nick dan Jihan Muse.

Liza atau nama sebenarnya, Haliza Hanim Abdul Halim menandatangani kontrak dengan LOL bagi tempoh dua tahun.

Memberitahu BH Online, Liza mengaku tertarik dengan strategi dan keterbukaan LOL menguruskan kariernya.

"Dalam banyak syarikat pengurusan yang cuba menawan hati, LOL boleh dikatakan bersungguh-sungguh mahu menyunting saya. Syarikat mereka sabar dan memahami kedudukan saya sebagai ahli perniagaan, isteri dan ibu.

"Biar apa pun perancangan, mereka faham keluarga menjadi keutamaan. Saya cukup tertarik dengan tenaga kerja dan pengalaman syarikat itu. Malah, kami cepat serasi," katanya.

Liza berkata, LOL sudah merancang menerbitkan single baharu untuknya.

"Tapi apa penting ketika ini untuk 'memanaskan enjin' dan membuat persediaan bersaing di pentas GV4," katanya.

Mengenai debaran bersaing di pentas itu bermula malam ini, Liza mengaku hatinya bercampur baur.

"Saya tak tahu apa yang nak dijangka. Ia agak menggerunkan. Biar apa pun hasilnya, saya akan terus positif.

"Saya pasti semua peserta sedang membuat persiapan rapi. Masing-masing ada pengikut sendiri," katanya.

Namun, buat Liza, paling manis baginya dapat berkongsi pentas dengan Aishah yang turut bertanding pada edisi kali ini.

"Peluang bersama-sama Aishah suatu penghormatan besar buat diri ini. Semua pun handal-handal," katanya yang mengaku Astro mula menawarkannya peluang bersaing di GV sejak tiga tahun lalu, namun terpaksa ditolak atas komitmen keluarga dan perniagaan.

Selain Liza dan Aishah, artis yang turut bersaing di pentas GV4 ialah Syura, Elyana, Raja Azura, Haida Hafiz, Hazami, Aqasha, Tia Jinbara dan Lan Kristal. Penyanyi Indonesia, Firman Siagian dan Ferhad dari Singapura juga terpilih.

Konsert mingguan GV4 disiarkan secara langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, setiap Ahad, mulai malam ini.

Berita Harian X