Selasa, 15 Ogos 2017 | 5:12pm
PELAKON, Izreen Azminda. - Foto Rohanis Shukri
PELAKON, Izreen Azminda. - Foto Rohanis Shukri

Izreen terkilan nama disingkir

KUALA LUMPUR: Pelakon, Izreen Azminda, 31, meluahkan rasa terkilan terhadap produksi program hiburan popular yang didakwa menyingkirkan beliau pada saat akhir.

Izreen atau nama penuhnya Izreen Azminda Aznam, berkata beliau difahamkan penyingkiran itu dibuat atas permintaan seorang artis yang terbabit dalam program berkenaan.

"Pada awalnya nama saya turut dipilih menyertai program itu dan pihak produksi juga sudah menetapkan tarikh bagi mengadakan sesi fotografi dan promosi.

"Tiba-tiba, pihak produksi memberi alasan sesi fotografi dan promosi ditunda. Apabila saya bertanyakan pada pengurus, dia kata, sebenarnya nama saya disingkirkan.

"Saya difahamkan, artis terbabit meminta produksi untuk membuat pilihan sama ada memilih saya atau dirinya. Sudah semestinya nama dia yang akan dipilih," katanya kepada BH Online.

Tambah Izreen, beliau kesal dengan insiden berkenaan memandangkan persiapan sudah pun dilakukan dan beberapa tawaran kerja ditolak demi program terbabit.

Enggan memikirkan perkara itu secara serius, Izreen mengambil pendekatan untuk bersikap positif selain menyifatkan ia sebagai bukan rezekinya.

"Saya anggap bukan rezeki saya dan saya juga memaafkan artis itu, jika benarlah apa yang dimaklumkan kepada saya.

"Cuma saya nak cakap, jika dia ada perasaan tak selamat dalam diri dan paranoid, memang hati takkan tenang sampai bila-bila," tegasnya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Izreen bakal memulakan penggambaran drama 13 episod bagi siaran sebuah saluran televisyen, bulan hadapan.

Pada masa sama, pelakon drama, Lelaki Macam Dia, ini berkata beliau merancang untuk memberi fokus pada kerja berkaitan dengan perlantikannya sebagai duta produk pencucian wanita dan serum.

"Memandangkan saya sibuk dengan penggambaran sejak awal tahun sehingga Jun, maka kali ini saya memberi fokus pula terhadap promosi produk dan hanya membabitkan diri dengan kerja lakonan yang tidak terlalu lama waktu penggambarannya.

"Tambahan pula ibu saya kurang sihat, jadi saya sukar untuk keluar ibu kota. Jangan pula fikir saya nak perlahankan karier lakonan pula. Ia hanya bersifat sementara saja," tuturnya.

Berita Harian X