Isnin, 4 March 2019 | 7:18pm
Misha bersama dua individu yang mengaku melayangkan komen berbaur fitnah terhadapnya susulan kejayaan pada AJL33 pada sidang media di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Aziah Azmee
Misha bersama dua individu yang mengaku melayangkan komen berbaur fitnah terhadapnya susulan kejayaan pada AJL33 pada sidang media di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Aziah Azmee

Eksklusif: Siri Satu Isu Fitnah Siber, Salah Siapa?

KUALA LUMPUR: Diperhatikan sejak akhir-akhir ini, sikap segelintir peminat dunia hiburan yang menganggap selebriti milik masyarakat membuatkan mereka berani melemparkan komen keterlaluan melalui media sosial.

Keterbukaan dunia maya seakan-akan memberi ‘lesen’ kepada netizen untuk menyalurkan amarah atau kecaman tanpa memikirkan kesan jangka panjang terhadap pihak yang dicerca termasuk diri sendiri.

Hakikatnya, frasa ‘artis milik masyarakat’ bukan sekadar tiket membolehkan ruang peribadi selebriti dicerobohi pemuja tegar, malah memudahkan pembenci mengambil kesempatan ke atas diri mereka.

Tidak hanya kritikan dan hinaan, ada yang bersikap ‘hati kering’ sanggup mengada-adakan cerita kononnya untuk bergurau, sedangkan apabila tersebar, ia berubah menjadi fitnah.

Sepantas hujung jari menekan butang ‘share’ (kongsi), ‘like’ (suka) atau retweet (ulang kicau), secepat itulah status dan komen menjadi tohmahan percuma andai tidak diselidik kebenarannya.

Selain gosip, ada netizen yang gemar ‘membawang’ suka ‘menamatkan hayat’ artis dengan kes terbaru membabitkan pengarah dan pelakon kesayangan ramai, AR Badul.

Kelompok seperti ini mahu menjadi insan pertama melaporkan berita sedangkan mereka tidak pasti kesahihannya. Sebaliknya, artis dimaksudkan sihat walafiat.

Namun, suatu perkembangan baik, semakin ramai selebriti yang peka dengan hak mereka, mula menggunakan saluran undang-undang daripada terus dibuli netizen.

Terbaru, Misha Omar antara penyanyi yang terpalit dengan tohmahan siber tetapi bangkit membersihkan namanya dengan membuat dua laporan polis terhadap beberapa individu.

Dakwaan mengamalkan ilmu sihir dan khurafat yang tersebar di internet susulan kemenangan kategori Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33), awal bulan lalu, membuatkan penyanyi ini mengambil langkah perlu.

Akhirnya, kemelut dan reputasi 17 tahun bergelar anak seni dapat dibersihkan Misha dalam tempoh tujuh hari selepas dua individu mengakui kekhilafan mereka.

Seperti diluahkan Misha yang mempertaruhkan lagu Sampai Bila pada AJL33, tujuan aduan dibuat adalah bagi melunaskan tanggungjawab mendidik masyarakat tidak menyalahguna laman sosial.

“Saya kasihan kepada individu yang tidak sedar perbuatan fitnah, hasutan atau seumpamanya boleh mendatangkan kesan buruk terhadap diri mereka sendiri.

“Tujuan saya mengajukan kes ini kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan berunsurkan dendam. Sebaliknya, mahu ia menjadi pengajaran. Usah sewenang-wenangnya menjadi wira papan kekunci,” katanya.

Misha atau nama sebenarnya, Samihah @ Aisah Omar, 37, sukar menyembunyikan kebimbangan tatkala memperkatakan mengenai generasi muda yang aktif dalam media sosial.

“Kebanyakan yang gemar memberi komen atau status keterlaluan adalah generasi muda. Kalau terbukti bersalah, bagaimana nasib mereka nanti.

“Negara kita ada undang-undang yang boleh dikenakan andai dakwaan disebarkan tanpa asas itu terbukti palsu,” katanya

Baru-baru ini, dua individu yang dianggap hero bersemuka untuk meminta maaf sekali gus menamatkan kontroversi ‘Mak Esah’ itu.

Bagaimanapun, seorang lagi pengguna Twitter yang menjadi pencetus gosip Misha, seolah-olah pengecut apabila terus menutup laman miliknya bagi mengelak dikesan.

Dalam kes berasingan, Julai lalu, Linda Rafar, 41, memfailkan saman terhadap lebih 100 pengguna laman sosial yang menulis komen keterlaluan apabila didakwa memfitnah sekumpulan jururawat .

Bekas anggota Elite itu menuntut individu terbabit membuat permohonan maaf secara terbuka menerusi platform media sosial yang digunakan mereka.

Melalui kenyataan, Linda mengajukan notis tuntutan selepas menimbangkan pelbagai perkara susulan komen keterlaluan netizen yang berterusan ‘memijak’ keluarganya.

“Sebelum emak meninggal dunia, kalau boleh mereka hendak saya selesaikan cara baik dengan mengalah dan minta maaf. Ketika itu pun, saya tak terlintas hendak sampai tahap ini.

“Tetapi, selepas emak pergi pada 11 Januari lalu, perkara ini tidak berhenti, sebaliknya semakin teruk. Atas nasihat peguam dan selepas mengambil kira banyak perkara, saya teruskan notis tuntutan ini.

“Saya tak pernah kesal dengan apa yang dibuat. Saya hanya mempertahankan hak ibu. Lagi pula, ini bukan untuk kepentingan saya tetapi orang lain yang pernah mengalami nasib sama,” katanya.

Linda menjadi individu pertama menyaman netizen yang marah dengan tindakannya memuat naik komen mengenai sikap sekumpulan jururawat terhadap ibunya di sebuah hospital di Shah Alam, Disember lalu.

Status penyanyi terbabit mengundang kemarahan netizen yang bertindak ‘menyerangnya’ dan keluarga di laman sosial.

Peguambela dan peguamcara dari firma Amelda Fuad Abi & Aidil, Abi Mursyidin Awal berkata, pengguna perlu tahu had mereka sebelum meninggalkan komen atau berkongsi status membabitkan orang lain.

“Kita hidup dalam negara berperlembagaan selain masih menjalani kehidupan harian berpaksikan undang-undang.

“Jadi jangan bertindak sesuka hati atau menganggap semua komen atau kritikan yang ditinggalkan di laman maya, tidak boleh dikesan.

“Fikir sedalam-dalamnya sebelum berbuat sesuatu yang berpotensi mengheret diri kita ke muka pengadilan walaupun hanya sebaris ayat,” katanya kepada HIP.

Antara dakwaan yang boleh dikenakan terhadap individu yang didapati bersalah memfitnah di laman sosial adalah mengikut Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta peruntukan di bawah Kanun Keseksaan.

Berita Harian X