Sabtu, 4 Februari 2023 | 8:57pm
 Foto hiasan - AFP
Foto hiasan - AFP

Remaja perempuan maut diserang jerung di Australia

SYDNEY: Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut selepas diserang seekor jerung ketika berenang di sungai di Australia Barat.

Mangsa berasal dari Perth cedera parah apabila spesies jerung yang tidak diketahui menggigitnya di Sungai Swan di pinggir Perth di Fremantle, menurut kerajaan negeri dalam satu kenyataan.

Mangsa ditarik dari air tetapi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas usaha memulihkannya gagal, kata Pemangku Inspektor Polis Daerah Fremantle, Paul Robinson,

"Mangsa dikatakan bersama rakan ketika kejadian berlaku. Mereka menaiki jet ski.

"Dikatakan sekumpulan ikan lumba-lumba kelihatan berdekatan dan mangsa melompat ke dalam sungai untuk berenang berdekatan dengan ikan lumba-lumba itu," katanya pada sidang media.

Beliau turut menyifatkan ia sebagai kejadian yang sangat traumatik.

Bagaimanapun, katanya pakar perikanan berpendapat adalah luar biasa untuk jerung ditemui di sungai itu. - AFP

Berita Harian X