Rabu, 1 Februari 2023 | 10:18am
WHO telah menekankan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan salah laku seksual oleh kakitangannya. - Foto AFP
WHO telah menekankan bahawa ia tidak akan bertolak ansur dengan salah laku seksual oleh kakitangannya. - Foto AFP

Lebih 50 negara mahu WHO bertanggungjawab isu penderaan seksual

GENEVA: Lebih 50 negara semalam mahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bertanggungjawab ke atas pelaku penderaan seksual.

Dalam mesyuarat lembaga eksekutif agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) berkata, mangsa terselamat daripada eksploitasi seksual, penderaan dan gangguan (SEAH) perlu diberi sokongan sewajarnya.

WHO kini ditekan kuat untuk membuat perubahan berikutan pendedahan pada 2020 mengenai penderaan seksual secara meluas yang dilakukan oleh pekerja kemanusiaan di Republik Demokratik Congo.

Duta Britain, Simon Manley ketika menyampaikan kenyataan bersama bagi 57 negara, menyuarakan 'kebimbangan mendalam' mengenai dakwaan SEAH serta penyalahgunaan kuasa oleh kakitangan dan kontraktor WHO.

Negara itu termasuk semua 27 negara anggota Kesatuan Eropah (EU), Afrika Selatan, India, Indonesia, Thailand, Malaysia, Chile, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada, Australia, Mexico, Argentina, Brazil, Korea Selatan dan Ukraine.

Negara berkenaan menyedari bahawa terdapat kemajuan sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan memuji keberanian mangsa yang terselamat untuk bersuara dan memberikan maklumat berkaitan isu terbabit.

"Adalah penting untuk membina budaya berdasarkan integriti, ketelusan dan akauntabilit," kata negara itu.

"Kami menggalakkan WHO untuk menyelesaikan isu ini bagi menjadi pemimpin melalui teladan serta bertanggungjawab.

"Kami sangat menyokong WHO untuk menjalankan latihan kepada kakitangannya. Ia harus membina kesedaran mengenai perbezaan kuasa dan ketidaksamaan antara mangsa dan pelaku yang menjadi punca berlakunya SEAH serta memberi tumpuan kepada mangsa terselamat.

"Aduan mesti ditangani sebaik mungkin dan penjenayah perlu bertanggungjawab, maka kami sangat menyokong usaha untuk mengukuhkan kapasiti penyiasatan WHO," kata negara anggota itu.

"Kami menjangkakan laporan segera dan sulit akan diberikan kepada negara anggota, termasuk tindakan yang diambil untuk menangani SEAH."

Sesi ke-152 lembaga eksekutif WHO bermula Isnin lalu sehingga 7 Februari ini.

WHO berkata, pihaknya tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk salah laku seksual oleh mana-mana tenaga kerjanya dan mengambil tindakan segera apabila terdapat dakwaan dibangkitkan. - AFP

Berita Harian X