Selasa, 31 Januari 2023 | 4:31pm
Anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Australia Barat (DFES) turut sama mengesan kehilangan kapsul radioaktif mengandungi Caesium-137 di barat daya Australia. - Foto EPA
Anggota Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Kecemasan Australia Barat (DFES) turut sama mengesan kehilangan kapsul radioaktif mengandungi Caesium-137 di barat daya Australia. - Foto EPA

Agensi radiasi dan nuklear Australia turut cari kapsul radioaktif hilang

MELBOURNE: Agensi Perlindungan Radiasi dan Keselamatan Nuklear Australia (ARPANSA) hari ini memaklumkan, pihaknya menyertai operasi pencarian kapsul radioaktif yang hilang di kawasan pedalaman negara itu.

Justeru, pasukan dengan peralatan pengesanan di kereta serta dilengkapi alatan mudah alih khusus dikerahkan untuk menyertai operasi terbabit.

Sudah seminggu pihak berkuasa melakukan pencarian kapsul berkenaan yang dipercayai jatuh dari sebuah trak.

Trak berkenaan ketika itu dalam perjalanan sejauh 1,400 kilometer (km) di barat Australia.

Kehilangan kapsul radioaktif itu mencetuskan amaran radiasi untuk sebahagian besar kawasan di negara itu.

Penghantaran kapsul yang mengandungi Caesium-137 yang menjadi sebahagian daripada peralatan untuk mengukur ketumpatan bijih besi dipertanggungjawab oleh syarikat Rio Tinto Ltd kepada kontraktor pakar.

kapsul berkenaan jika terkena badan boleh menyebabkan kulit menjadi kemerahan dan melecur akibat radiasi dan jika kapsul berkenaan terdedah bagi tempoh lama, juga boleh mendatangkan kesan kepada sistem imun badan

Syarikat terbabit memohon maaf semalam atas kehilangan kapsul terbabit yang berlaku dua minggu lalu.

Mengulas lanjut operasi itu, ARPANSA berkata pihaknya bekerjasama dengan kerajaan Australia Barat untuk mencari kapsul terbabit.

Tambahnya, Pertubuhan Sains dan Teknologi Nuklear Australia juga sudah menghantar pakar perkhidmatan radiasi serta peralatan pengesanan dan pengimejan ke lokasi.

Menurut siasatan awal pihak berkuasa mengesyaki getaran dari trak mengakibatkan skru dan bolt tercabut, lalu kapsul itu terjatuh dari bungkusan dan tergolek dari celah dalam kenderaan berkenaan. - REUTERS

Berita Harian X