Selasa, 31 Januari 2023 | 3:21pm
Kereta yang diparkir di tepi jalan raya di bandar raya Auckland ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan. - Foto fail REUTERS
Kereta yang diparkir di tepi jalan raya di bandar raya Auckland ditenggelami air berikutan hujan lebat berterusan. - Foto fail REUTERS

Hujan ekstrem diramal badai New Zealand

AUCKLAND: New Zealand berpotensi bakal dilanda hujan ekstrem apabila iklim menjadi panas, dengan pemanasan suhu dunia akibat peningkatan pantas tahap maksimum wap air dalam udara.

Menurut seorang saintis tempatan hari ini, yang memberi amaran mengenai situasi itu, iklim di Auckland boleh menjadi paling lembap pernah direkodkan selama ini.

Lebih 769 peratus hujan direkodkan setakat ini pada musim normal pada bulan ini, iaitu kira-kira lebih satu pertiga daripada keseluruhan purata taburan hujan di Auckland.

Memetik laporan Xinhua, terdapat ramalan akan berlaku pusingan hujan lebat sekali lagi pada malam ini.

"Bukan setiap ribut membawa banjir tetapi sewaktu iklim meningkat panas, situasi cenderung ke arah hujan yang lebih lebat," kata Prof James Renwick dari Victoria University of Wellington .

Hujan lebat berterusan bermula pagi Jumaat hingga pagi Sabtu di Auckland, mengakibatkan banjir besar-besaran di seluruh bandaraya New Zealand itu.

Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins, berkata cuaca buruk itu berpunca perubahan iklim.

"Apabila hujan, ia akan melanda dengan kuat dan sangat cepat. Warga Auckland perlu bersiap sedia kemungkinan hujan akan berlaku dengan lebih kerap lagi.

"Kejadian ini tidak pernah berlaku sebelum ini," katanya.

Terdahulu, Perkhidmatan Meteorologi Kebangsaan (Metservice) mengeluarkan amaran merah hujan lebat untuk kawasan Auckland.

Metservice turut merekodkan taburan hujan 249 milimeter dalam tempoh 24 jam setakat jam 1 pagi pada Sabtu lalu, berbanding 161.8 mm pernah direkodkan pada Februari 1985. - AGENSI

Berita Harian X