WELLINGTON: Tiga maut manakala seorang lagi dilaporkan hilang akibat banjir di seluruh bandar Auckland, berikutan hujan lebat berterusan sejak semalam.
Perdana Menteri New Zealand, Chris Hipkins berkata, tahap kemusnahan akibat banjir yang melanda di beberapa kawasan di bandar berkenaan agak teruk.
"Auckland merekodkan hari paling basah semalam (Jumaat) selepas tinjauan dilakukan di bahagian darat dan udara di daerah berkenaan. Takziah diucapkan kepada keluarga mangsa," katanya kepada media.
Bencana berkenaan adalah insiden besar pertama selepas Hipkins memegang jawatan Perdana Menteri Rabu lalu.
Mengikut laporan polis, mayat dua lelaki ditemui dalam banjir di lokasi berasingan di pinggir bandar utara Auckland.
"Mangsa ketiga meninggal dunia akibat kejadian tanah runtuh yang merobohkan sebuah rumah berhampiran pusat bandar manakala mangsa keempat yang masih hilang dipercayai selepas dihanyutkan di sebuah kawasan di selatan Auckland," katanya.
Kejadian banjir berkenaan menyebabkan banyak jalan raya di Auckland bertukar menjadi sungai.
Menurut MetService New Zealand, Lapangan Terbang Auckland merekodkan sebanyak 249 milimeter hujan dalam masa 24 jam sejak pagi semalam.
Lapangan terbang terbesar di negara itu ditutup sementara waktu kerana dinaiki air setinggi buku lali akibat cuaca buruk.
Terminal domestik dibuka semula hari ini manakala penerbangan antarabangsa dijangka dibuka semula esok.
Hipkins menasihatkan penduduk Auckland untuk kekal tinggal di rumah manakala perkhidmatan kecemasan juga dibanjiri dengan panggilan bantuan mengenai bencana berkenaan.
Penduduk Auckland juga digesa untuk menghubungi perkhidmatan kecemasan jika mereka menghadapi bahaya yang benar-benar mengancam nyawa mereka sahaja. - AFP