WELLINGTON: Perdana Menteri baharu New Zealand, Chris Hipkins cukup dikenali kerana sikap yang berterus terang, kurang berfesyen dan gemarkan diet Coke.
Hipkins, 44, hari ini secara rasminya mengangkat sumpah jawatan menggantikan rakannya, Jacinda Ardern yang dikenali lebih 20 tahun lalu.
Terkenal sebagai seorang berterus-terang, Hipkins sebelum ini adalah Menteri Tindak Balas COVID-19 New Zealand dan dikenali meluas sebagai ahli politik berperibadi tinggi serta cekap melaksanakan tugas.
Beliau juga seorang yang lemah-lembut sejak zaman awalnya sebagai pelopor politik mahasiswa, pernah ditangkap dan disiasat pada penghujung 1990-an berikutan membantah cadangan pembaharuan pendidikan universiti.
Pengulas politik, Josie Pagani menggambarkan Hipkins yang berpengalaman lebih 14 tahun dalam pentadbiran kerajaan dan pembangkang, sebagai 'bijak, disukai, tegas dan berkebolehan'.
Berasal daripada golongan kelas pekerja dari Hutt Valley, Pulau Utara New Zealand, Hipkins pernah memegang portfolio berprofil tinggi termasuk polis dan pendidikan.
"Saya fikir saya agak ke hadapan, inklusif. Orang ramai tidak akan tertanya-tanya apa yang saya fikirkan.
"Ibu bapa saya daripada golongan sederhana dan bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk saya dan abang," katanya.
Beliau mempunyai dua anak iaitu seorang anak lelaki berusia enam tahun dan seorang lagi anak perempuan berusia empat tahun, bagaimanapun tinggal berasingan dengan isterinya.
Malah Hipkins menegaskan potret dan kehidupan peribadi anak-anaknya tidak akan dipertontonkan di media sosial sekali gus meminta rakyat New Zealand menghormati pendiriannya itu.
Kecenderungan pemakanannya itu menarik perhatian rakan sekerjanya, dengan bekas majikannya pernah menyatakan Hipkins tidak makan apa-apa selain roti sosej dan diet Coke.
Sambil berkongsi perkara kegemaran dengan wartawan, Hipkins adalah seorang yang menyukai aktiviti mengayuh basikal, berkebun selain menggemari kegiatan luar bangunan, tetapi mengatakan dirinya mungkin tidak mempunyai gaya fesyen terbaik di Parlimen.
Beliau sebelum ini mengikuti pengajian politik dan kriminologi di Universiti Victoria di ibu kota Wellington dan kemudian bekerja dalam sektor latihan industri.
Sebelum menjadi Ahli Parlimen pada 2008, beliau pernah berkhidmat sebagai Penasihat Kanan kepada Menteri Pendidikan dan bekas Perdana Menteri, Helen Clark.
Walaupun dikenali sebagai seorang yang sopan dan santai, Hipkins juga mampu berperwatakan politik keras berikutan pernah terbabit dalam beberapa pertengkaran berprofil tinggi dengan bekas kerajaan konservatif Australia.
Pada 2021, beliau menuduh Australia 'mengeksport sampahnya' ke negaranya yang mana ia merujuk kepada dasar kontroversi Canberra untuk menghantar pulang penjenayah ke negara kelahiran mereka.
Hipkins pernah ditegur oleh Ardern pada 2017 selepas beliau didakwa mendalangi peletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri Australia ketika itu, Barnaby Joyce.
Maklumat yang dikeluarkan kepada Hipkins menunjukkan Joyce memiliki dua kewarganegaraan iaitu Australia dan New Zealand yang menyebabkannya hilang kelayakan untuk duduk di Parlimen di bawah Perlembagaan Australia. - AFP