Jumaat, 24 Jun 2022 | 11:23am
Penyakit cacar monyet. - Foto AGENSI
Penyakit cacar monyet. - Foto AGENSI

WHO muktamadkan status wabak cacar monyet hari ini

GENEVA: Jawatankuasa pakar Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengadakan mesyuarat semalam bagi memutuskan sama ada wabak cacar monyet akan diisytiharkan sebagai kecemasan kesihatan global.

Menurut WHO, keputusan hasil mesyuarat tertutup itu dikeluarkan seawal-awalnya hari ini.

Peningkatan kes cacar monyet dikesan sejak Mei di luar negara Barat dan Afrika Tengah di mana penyakit itu sebelum ini sudah lama ditakrifkan sebagai endemik.

Namun, kebanyakan kes baharu berlaku di Eropah Barat.

Ketua WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata lebih 3,200 kes positif dengan satu kematian dilaporkan kepada pertubuhan itu dari 48 buah negara.

Pada 14 Jun lalu, beliau mengumumkan pihaknya akan memanggil jawatankuasa kecemasan untuk menilai sama ada wabak itu adalah Kecemasan Kesihatan Awam Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC) iaitu penggera tertinggi yang boleh dibunyikan oleh agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Selain memberikan penilaian PHEIC, ahli jawatankuasa bersedia untuk memberi nasihat kepada WHO dan negara anggotanya berhubung cara pencegahan penularan penyakit itu dengan lebih baik, selain menguruskan tindak balas mereka.

Melalui mesyuarat itu, Tedros meminta semua negara supaya mengukuhkan kapasiti masing-masing untuk mencegah penularan cacar monyet dengan menggunakan pengawasan, pengesanan kenalan dan mengasingkan pesakit yang dijangkiti.

"Wabak di negara yang baru terjejas terus berlaku terutamanya membabitkan kes hubungan intim pasangan sejenis dan mereka yang melakukan hubungan bersama pasangan baharu atau kerap bertukar pasangan.

"Jangkitan dari individu kepada individu sedang berlaku, namun ia mungkin dipandang remeh," katanya menerusi pautan video dari sidang kemuncak Komanwel di ibu negara Rwanda, Kigali.

Pada masa sama Tedros berkata, sebagai tambahan kepada 3,200 lebih kes yang disahkan, hampir 1,500 kes disyaki cacar monyet dan kira-kira 70 kematian yang disyaki dilaporkan di Afrika tengah tahun ini.

Jawatankuasa kecemasan akan memberikan Tedros syor PHEIC, dan penilaian risiko kepada kesihatan manusia, risiko penyebaran antarabangsa dan risiko gangguan trafik antarabangsa.

Tedros kemudiannya akan membuat penentuan muktamad sama ada PHEIC perlu diisytiharkan, berdasarkan nasihat mereka. - AFP

Berita Harian X