Jumaat, 24 Jun 2022 | 7:49am

Jumlah kes cacar monyet meningkat kepada lebih 3,200 - WHO

BENGALURU: Lebih 3,200 kes cacar monyet yang disahkan dan satu kematian dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai sebahagian daripada wabak semasa.

Terdapat keperluan untuk pengawasan yang lebih intensif dalam komuniti yang lebih luas, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus semalam, sambil menambah bahawa kes di negara bukan endemik masih kebanyakannya dalam kalangan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.

"Transmisi dari orang ke orang sedang berlaku, namun ia mungkin dipandang remeh," kata Tedros pada mesyuarat Jawatankuasa Kecemasan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (2005).

Mesyuarat pakar telah diadakan oleh WHO untuk memutuskan sama ada mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global.

'Kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa' ialah tahap kewaspadaan tertinggi WHO.

Empat puluh lapan negara telah melaporkan kes dalam wabak semasa, yang bermula pada bulan Mei.

Terdapat hampir 1,500 kes disyaki cacar monyet tahun ini di Afrika Tengah dan 70 kematian, kata Tedros.

Ketua WHO menyeru negara anggota untuk berkongsi maklumat mengenai virus itu kerana ia akan membantu agensi itu dalam matlamatnya untuk menyokong negara bagi membendung penularan. - REUTERS

Berita Harian X