Rabu, 15 Jun 2022 | 9:38am
Sebanyak 39 negara telah melaporkan 1,600 kes cacar monyet yang disahkan dan 1,500 kes disyaki tahun ini. - Foto WHO
Sebanyak 39 negara telah melaporkan 1,600 kes cacar monyet yang disahkan dan 1,500 kes disyaki tahun ini. - Foto WHO

WHO nilai sama ada cacar monyet kecemasan kesihatan global

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam memaklumkan akan mengadakan mesyuarat tergempar minggu depan bagi menentukan sama ada untuk mengklasifikasikan wabak cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global yang membimbangkan.

Agensi PBB itu juga sedang berusaha menukar nama wabak itu, yang mula dikesan di Afrika barat dan tengah sehingga lebih 1,000 kes dikesan di puluhan negara di seluruh dunia sejak dua bulan lalu.

"Wabak cacar monyet adalah luar biasa dan membimbangkan," kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus kepada wartawan.

"Saya sudah memutuskan untuk memanggil jawatankuasa kecemasan di bawah peraturan kesihatan antarabangsa minggu depan, untuk menilai sama ada wabak ini mewakili kecemasan kesihatan awam yang membimbangkan antarabangsa.

"Jawatankuasa kecemasan akan bermesyuarat pada 23 Jun untuk membincangkan petanda itu, yang akan menjadi petunjuk tertinggi oleh agensi PBB," katanya.

Tedros berkata, WHO juga bekerjasama dengan rakan kongsi dan pakar dari seluruh dunia untuk menukar nama virus cacar monyet serta penyakit yang terhasil daripadanya.

"Kami akan membuat pengumuman mengenai nama baharu itu secepat mungkin," katanya.

Pengumuman itu dibuat selepas lebih 30 saintis minggu lalu menulis bahawa terdapat keperluan mendesak untuk nama wabak itu ditukar bagi mengelak diskriminasi.

"Dalam konteks wabak global semasa, rujukan berterusan kepada tatanama virus ini sebagai Afrika bukan sahaja tidak tepat tetapi juga mendiskriminasi dan mencemarkan," kata saintis.

Biarpun cacar monyet pertama kali ditemui pada kera, banyak kes dipercayai ditularkan kepada manusia oleh tikus, dengan gejala awal biasanya termasuk demam panas, limfa bengkak dan ruam seperti cacar air yang melepuh.

Bagaimanapun, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS) minggu lalu berkata, kes semasa tidak selalu menunjukkan simptom seperti selesema dan ruam, adakalanya terhad kepada kawasan tertentu.

Tedros berkata, 1,600 kes cacar monyet yang disahkan dan 1,500 kes yang disyaki sudah dilaporkan kepada WHO tahun ini dari 39 negara, 32 daripadanya baru dilanda wabak itu.

Katanya, biarpun 72 kematian dilaporkan di negara-negara di mana cacar monyet sudah menjadi endemik, namun tiada lagi negara baru yang terjejas.

"Bagaimanapun WHO sedang berusaha untuk mengesahkan laporan berita dari Brazil mengenai kematian berkaitan cacar monyet di sana," katanya.

Dalam usaha memerangi penyebaran global, WHO berhasrat mengesyorkan amalan kesihatan awam yang sudah dicuba dan teruji termasuk pengawasan, pengesanan kenalan serta pengasingan pesakit yang dijangkiti.

Bagaimanapun, Tedros berkata, WHO tidak mengesyorkan vaksinasi besar-besaran terhadap cacar monyet, selepas Kesatuan Eropah (EU) memberitahu sudah membeli hampir 110,000 dos vaksin.

"Biarpun vaksin cacar dijangka memberikan sedikit perlindungan terhadap cacar monyet, terdapat data klinikal dan bekalannya yang terhad.

"Sebarang keputusan untuk menggunakan vaksin harus dibuat bersama individu yang mungkin berisiko dan penyedia penjagaan kesihatan mereka, berdasarkan penilaian risiko dan faedah serta setiap kes," katanya. - AFP

Berita Harian X