Sabtu, 14 Mei 2022 | 8:23am
(Gambar fail) Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - FOTO AFP
(Gambar fail) Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern. - FOTO AFP

Perdana Menteri New Zealand positif COVID-19

WELLINGTON: Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern disahkan positif COVID-19, menurut pejabatnya dalam satu pengumuman, hari ini.

Beliau mengalami gejala sederhana dan akan menjalani kuarantin di rumah selama tujuh hari.

Sebelum ini, Ardern menjalani pengasingan sejak Ahad minggu lalu berikutan pasangannya, Clarke Gayford dikesan positif jangkitan virus itu, dan dijadualkan menyambung semula tugas parlimen pada Isnin.

Bagaimanapun, menurut kenyataan dikeluarkan kerajaan, jadual Ardern yang bakal mengadakan misi perdagangan ke Amerika Syarikat (AS), tidak terjejas.

Butiran perjalanan itu belum disahkan walaupun beliau dijadual menyampaikan ucaptama di Universiti Harvard pada 26 Mei ini.

Namun, Ardern tidak akan hadir ke Parlimen untuk dua pengumuman domestik berprofil tinggi, membabitkan pelan pengurangan pelepasan gas karbon yang akan dibentangkan pada Isnin ini, dan bajet tahunan pada Khamis.

"Ia adalah minggu penting untuk kerajaan dan saya kecewa kerana tidak dapat hadir.

"Pelan pengurangan pelepasan gas itu menetapkan laluan untuk kita mencapai sasaran sifar karbon, manakala bajet pula menangani keselamatan dan masa depan sistem kesihatan New Zealand untuk jangka panjang.

"Namun, sebagaimana saya katakan pada awal minggu ini, menjalani pengasingan akibat COVID-19 merupakan suatu pengalaman dilalui rakyat New Zealand, termasuk keluarga saya," kata Ardern sambil kongsikan gambar keputusan beliau positif ujian saringan melalui Instagram.

New Zealand menguatkuasakan antara pendekatan paling ketat dalam menangani awal wabak COVID-19 pada 2020.

Sejumlah 892 kematian akibat COVID-19 yang direkodkan New Zealand, setakat ini, kekal sebagai antara terendah dalam kalangan negara maju.

Namun, negara ini berdepan lonjakan penularan varian Omicron selepas sekatan dilonggarkan pada Mac lalu, dengan kes positif dialami Ardern menjadi antara lebih 50,000 jangkitan direkodkan sejak minggu lalu. - AFP

Berita Harian X