Khamis, 5 Mei 2022 | 1:46pm
 Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto EPA
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison. - Foto EPA

Ancaman pencerobohan Solomon, Perdana Menteri Australia gesa bertenang

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, menggesa semua pihak bertenang selepas pemimpin Kepulauan Solomon memaklumkan terdapat ancaman pencerobohan dan negara itu diperlakukan seperti bayi yang memegang senjata.

Morrison yang bakal menghadapi pilihan raya persekutuan pada 21 Mei ini, kini sedang bergelut dengan kritikan terhadap dasar luar kerajaannya selepas negara kepulauan Pasifik menandatangani perjanjian dengan China, bulan lalu.

Perjanjian dengan China itu menimbulkan amaran di Australia dan Amerika Syarikat (AS) yang bimbang ia akan memberikan Beijing tapak ketenteraan di selatan Pasifik, kurang daripada 2,000 kilometer dari pantai Australia.

"Kita perlu bertenang apabila berdepan dengan isu ini," katanya.

Pemimpin Australia itu, berkata beliau bimbang mengenai keselamatan rakyat Solomon dan Pasifik selepas Perdana Menteri, Manasseh Sogavare menandatangani "persetujuan rahsia" dengan Beijing.

Morrison menegaskan kerajaannya melayan "keluarga" Pasifik dengan setaraf.

Bagaimanapun Sogavare merasa jengkel dengan kritikan AS dan Australia terhadap perjanjian itu.

"Kami kesal dengan gambaran berterusan membabitkan kurangnya kepercayaan oleh pihak berkenaan," katanya.

Sogavare memberitahu Parlimen, tiada apa yang perlu dibimbangkan dengan perjanjian itu.

Tanpa menyebut nama negara, Sogavare berkata terdapat amaran campur tangan ketenteraan, sekiranya kepentingan negara lain terjejas dalam keluarga Solomon.

"Dalam erti kata lain, Tuan Speaker, kita diancam dengan pencerobohan dan itu adalah serius.

"Kita dilayan seperti kanak-kanak tadika yang berjalan dengan memegang senjata Colt 45s dan oleh itu, kita harus diawasi. Kami berasa terhina," katanya.

Kerajaan Sogavare memutuskan hubungan dengan Taiwan pada September 2019 dan memilih hubungan diplomatik dengan China, pertukaran yang membuka pelaburan namun mencetuskan persaingan antara pulau.

November lalu, bantahan terhadap pemerintahan Sogavare memuncak sehingga mengakibatkan rusuhan di ibu negara Honiara, yang mana ketika kejadian bandar Chinatown dibakar.

Australia menghantar 100 anggota polis dan tentera pengaman sebagai tindak balas atas permintaan Kepulauan Solomon.

Mereka disertai pasukan dari New Zealand, Fiji dan Papua New Guinea. - AFP

Berita Harian X