Khamis, 5 Mei 2022 | 7:37am
Penduduk meninggalkan kediaman berikutan pertempuran bersenjata berterusan antara geng saingan, di Port-au-Prince, Haiti. - Foto REUTERS
Penduduk meninggalkan kediaman berikutan pertempuran bersenjata berterusan antara geng saingan, di Port-au-Prince, Haiti. - Foto REUTERS

PBB kutuk tindakan geng Haiti rekrut kanak-kanak

PORT-AU-PRINCE: Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) menyuarakan kebimbangan berhubung tindakan geng bersenjata merekrut kanak-kanak ke dalam kumpulan itu.

Pejabat Integrasi PBB, berkata dalam tempoh dua minggu, sekurang-kurangnya 39 orang awam terbunuh dan pihaknya sangat bimbang mengenai tindakan merekrut remaja bawah umur ke dalam kumpulan itu, yang merupakan antara enam pelanggaran serius hak asasi kanak-kanak.

Kumpulan bersenjata itu sering menjelajah ke kawasan kejiranan termiskin di ibu kota selama beberapa dekad, namun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, cengkaman mereka ke atas bandar itu mula meningkat.

Minggu lalu, sebuah video menunjukkan seorang remaja bawah umur bertopeng dan memegang senjata automatik kaliber tinggi mula tular di laman sosial Haiti.

Klip video itu menunjukkan seorang kanak-kanak lelaki memberitahu bahawa dua sedang berperang dengan ketua geng pesaing dan dipercayai di ambil di kawasan kejiranan miskin di Port-au-Prince barat, Martissant.

Kawalan kumpulan jenayah itu kini mula tersebar di utara dan timur pinggir bandar dan PBB mengecam tindakan penjenayah merekrut kanak-kanak ke dalam kumpulan itu.

PBB di Haiti menerusi ciapan Twitternya, mengutuk tindakan keganasan dilakukan oleh kumpulan geng sejak 24 April lalu, yang menjejaskan komuniti di utara dan timur laut Port-au-Prince sehingga mengorbankan nyawa puluhan rakyat, selain mencederakan serta menyebabkan ribuan orang kehilangan tempat tinggal.

Setakat ini, organisasi hak asasi manusia masih belum mengumpulkan maklumat terperinci berhubung keadaan di kawasan yang terjejas teruk, memandangkan keganasan yang berlaku menghalang mereka daripada memasuki lokasi itu.

Dalam satu kenyataan, pihak berkuasa perlindungan orang awam Haiti menganggarkan antara 24 April dan 2 Mei lalu, sekurang-kurangnya 39 terbunuh dan 68 lain cedera.

Seramai 9,000 orang juga dipercayai hilang tempat tinggal dari tiga komuniti di pinggir bandar Port-au-Prince.

"Sebanyak 48 sekolah, lima pusat perubatan dan lapan pasar ditutup disebabkan situasi itu," katanya.

Pihak polis dan pegawai kerajaan lain masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung insiden keganasan terbaru itu yang turut menghalang semua laluan selamat darat keluar dari ibu negara. - AFP

Berita Harian X