Isnin, 28 Februari 2022 | 2:15pm
Gambar 2019 pekerja pembinaan saluran gas Nord Stream 2 di Kingisepp, wilayah Leningrad, Russia. - Foto REUTERS
Gambar 2019 pekerja pembinaan saluran gas Nord Stream 2 di Kingisepp, wilayah Leningrad, Russia. - Foto REUTERS

Syarikat minyak tarik diri dari Russia

OSLO: Kumpulan tenaga Norway, Equinor hari ini memaklumkan memulakan proses menjual projek usaha samanya di Russia, susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Equinor pengeluar minyak dan gas kedua utama Eropah selepas BP, meninggalkan Russia ketika negara Barat meningkatkan usaha untuk menghukum Russia dengan sekatan baharu, kata Ketua Eksekutif Equinor Anders Opedal.

"Kami kini akan menghentikan pelaburan baharu ke dalam perniagaan Russia dan kami akan memulakan proses untuk keluar daripada usaha sama kami," katanya.

Syarikat itu sebahagian besarnya dimiliki negara Norway, sudah berada di Russia selama lebih 30 tahun dan pada 2012 bersetuju memeterai kerjasama strategik dengan syarikat Rosneft, milik Russia.

Pelan itu bagaimanapun dikecilkan berikutan sekatan Barat yang dikenakan ke atas Moscow, menerusi rampasan Crimea oleh Russia daripada Ukraine pada 2014, tetapi Equinor kekal sebagai rakan kongsi dalam beberapa usaha sama.

Kerjasama Equinor dengan Rosneft merangkumi pelantar minyak dan gas North Komsomolskoye di Siberia Barat dan pembangunan Danilovsky Utara di Siberia Timur.

Pengeluaran petroleum Equinor di Russia berjumlah 25,000 tong minyak sehari dan syarikat itu mempunyai 70 pekerja di Russia, menurut laman webnya.

Semalam, kerajaan Norway mengumumkan dana kekayaan negaranya yang terbesar di dunia, akan melepaskan aset di Russia dengan nilai sekitar 25 bilion Norway (AS$2.80 bilion atau RM11.76 bilion).

Sementara itu, syarikat E.ON Jerman, pengendali rangkaian tenaga terbesar Eropah, menolak tuntutan untuk menutup saluran paip gas Nord Stream 1 sebagai sebahagian daripada sekatan terhadap Russia kerana menceroboh Ukraine, kata syarikat itu kepada akhbar Rheinische Post, hari ini.

Selepas kerajaan Jerman menangguhkan saluran paip Nord Stream 2 minggu lalu, Perdana Menteri Poland, Mateusz Morawiecki kelmarin menggesa untuk menutup Nord Stream 1, yang sudah membekalkan gas Russia ke Jerman sejak 2011.

Nord Stream ialah usaha sama syarikat Gazprom Russia, pengeluar minyak dan gas Jerman Wintershall DEA, PEG Infrastruktur E.ON, syarikat Belanda Gasunie dan syarikat Perancis Engie.

E.ON, yang memegang 15.5 peratus kepentingan dalam Nord Stream 1, berkata projek itu sangat berbeza daripada perbincangan mengenai saluran gas Nord Stream 2. - REUTERS

Kepulan asap di bandar Vasylkiv dekat Kyiv semalam selepas Russia membedil simpanan minyak Ukraine. - Foto AFP
Kepulan asap di bandar Vasylkiv dekat Kyiv semalam selepas Russia membedil simpanan minyak Ukraine. - Foto AFP

Berita Harian X