Rabu, 9 Februari 2022 | 5:18pm
Pemenang anugerah Tokoh Australia 2021, Grace Tame (kiri) dan aktivis mangsa gangguan seksual, Brittany Higgins, pada satu sidang media di Canberra, Australia. - Foto REUTERS
Pemenang anugerah Tokoh Australia 2021, Grace Tame (kiri) dan aktivis mangsa gangguan seksual, Brittany Higgins, pada satu sidang media di Canberra, Australia. - Foto REUTERS

Mangsa penderaan seksual kecam reaksi PM Australia

SYDNEY: Dua aktivis terkemuka untuk mangsa penderaan seksual yang terselamat daripada tuduhan memburuk-burukkan Perdana Menteri Australia, mengecam sikap tidak acuh pemimpin itu.

Kenyataan Perdana Menteri, Scott Morrison, berhubung isu itu disifatkan sebagai mengejutkan, tanpa sebarang usaha untuk memperbetulkan keadaan.

Bekas pembantu kerajaan, Brittany Higgins, yang mendakwa dirinya dirogol di Parlimen sehingga mencetuskan protes di seluruh negara, berkata tidak banyak yang berubah sejak beliau tampil membuat pengakuan secara terbuka setahun lalu.

Dalam ucapan yang ditonton secara meluas, Higgins meluahkan rasa sedih dan malu terhadap tindakan kerajaan konservatif di mana beliau pernah berkhidmat.

Higgins berkata, tindak balas Morrison terhadap dakwaannya, dengan menggunakan anak perempuan dan isterinya sendiri, adalah sesuatu yang mengejutkan dan kadang-kadang diakui agak menyinggung perasaan.

"Saya tidak mahu simpatinya sebagai bapa. Saya mahu beliau menggunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

"Jika kata-katanya tidak mengubah keadaan, sekurang-kurangnya ambillah tindakan yang sewajarnya," katanya.

Katanya, perbicaraan peringkat kebangsaan mengenai penamatan pencabulan, gangguan dan serangan tidak berkembang melangkaui 'kenyataan menyinggung perasaan' dan tindakan memekakkan diri di sebalik kenyataan yang mengelirukan.

Higgins berucap selepas mangsa penderaan seksual kanak-kanak, Grace Tame, yang juga dinobatkan sebagai Tokoh Australia 2021, menyampaikan ucapannya, yang turut menyasarkan kepimpinan perdana menteri sepanjang tahun lalu.

"Pekungnya bermula dari atas.

"Melainkan pemimpin kita bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan mereka sendiri, budaya penderaan akan terus berleluasa di Parlimen, menetapkan standard yang tercemar untuk seluruh negara," kata Tame.

Nasib kedua-dua wanita itu mencetuskan perdebatan nasional dan meruntun jiwa di Australia serta mendorong pelbagai penyiasatan oleh kerajaan.

Salah satu daripadanya, laporan Jenkins Review setebal 450 halaman mendapati satu dalam tiga orang yang kini bekerja di Parlimen dan tempat kerja Kerajaan Persekutuan lain mengalami gangguan seksual ketika mereka bekerja di sana. -AFP

Berita Harian X