Isnin, 24 Januari 2022 | 4:43pm
Australia masih bergelut dengan wabak COVID-19 dengan New South Wales mencatat 15,091 kes baharu semalam. - Foto EPA
Australia masih bergelut dengan wabak COVID-19 dengan New South Wales mencatat 15,091 kes baharu semalam. - Foto EPA

Akaun WeChat PM Australia 'hilang'

SYDNEY: Akaun WeChat milik Perdana Menteri Australia, Scott Morrison, hilang, sekali gus mencetuskan dakwaan itu ekoran campur tangan China.

Akaun media sosial kendalian China yang dilancarkan pada Februari 2019 dan dimiliki Morrison itu ,sebaliknya digantikan dengan nama 'Kehidupan Baharu Australia China'.

WeChat ialah platform media sosial dan mesej paling dominan di China, memandangkan aplikasi yang dibangunkan negara Barat seperti WhatsApp, Facebook dan Twitter disekat di Negara Tembok Besar itu.

Akaun WeChat "Australia China New Life", bekas akaun milik Perdana Menteri Scott Morrison. - Foto REUTERS
Akaun WeChat "Australia China New Life", bekas akaun milik Perdana Menteri Scott Morrison. - Foto REUTERS

Sehingga kini, tiada maklum balas langsung diutarakan Morrison berhubung perkara itu, namun seorang senator daripada parti pemerintah, Liberal Party mendakwa Beijing menjadi dalang di sebalik perubahan berkenaan.

"Apa yang dilakukan Kerajaan China, dengan menutup akaun milik Perdana Menteri ialah suatu campur tangan luar dalam demokrasi kami," kata James Paterson kepada radio 2GB radio, hari ini.

Susulan itu, Paterson menggesa ahli politik Australia untuk memboikot WeChat sebagai tindak balas terhadap percaturan China. - AFP

Berita Harian X