Khamis, 20 Januari 2022 | 5:18pm
Sebuah pesawat pengangkut Hercules C-130 milik tentera udara New Zealand, membawa bekalan bantuan kecemasan yang diperlukan berlepas dari Auckland untuk untuk ke Tonga pagi ini. - Foto AGENSI
Sebuah pesawat pengangkut Hercules C-130 milik tentera udara New Zealand, membawa bekalan bantuan kecemasan yang diperlukan berlepas dari Auckland untuk untuk ke Tonga pagi ini. - Foto AGENSI

Pesawat bawa bantuan kemanusiaan tiba di Tonga

SYDNEY: Sebuah pesawat yang membawa bekalan bantuan kecemasan yang diperlukan, dilaporkan tiba di Tonga, hari ini.

Ia adalah penerbangan pertama ke Tonga selepas landasan di lapangan terbang di pulau rantau Pasifik itu dibersihkan daripada abu dan serpihan akibat tragedi letusan gunung berapi dan tsunami pada hujung minggu lalu.

Al Jazeera melaporkan, lebih banyak lagi pesawat yang membawa bekalan diperlukan, dijangka mendarat di pulau terbabit.

Dilaporkan, landasan di Nuku'alofa diselubungi debu selepas tragedi letusan gunung Hunga Tonga-Hunga Ha'apai.

Sebuah pesawat pengangkut Hercules C-130 milik tentera udara New Zealand, mendarat di Tonga selepas melakukan perjalanan selama empat jam dari Auckland.

"Pesawat itu membawa bantuan kemanusiaan dan bekalan bantuan bencana seperti bekas air, kit tempat tinggal sementara dan generator.

"Selain itu, kit penjagaan kesihatan dan peralatan komunikasi turut disediakan kepada mangsa," kata Menteri Luar, Nanaia Mahuta dalam satu kenyataan.

Pesawat itu dijangka berada di lapangan terbang selama kira-kira 90 minit sebelum berlepas ke New Zealand, bagi mengikut protokol sekatan COVID-19.

Tonga adalah antara beberapa negara di dunia yang bebas COVID-19 dan melaksanakan kawalan sempadan ketat.

Sementara itu, media Australia melaporkan sebuah pesawat membawa bantuan juga mendarat di Tonga, hari ini.

Kementerian Pertahanan Jepun memaklumkan pihaknya akan menghantar bantuan melalui dua pesawat C-130 yang akan berlepas seawal hari ini.

Jelas kementerian itu, pesawat terbabit antara lain akan membawa bekalan air minuman. - AGENSI

Berita Harian X