Rabu, 19 Januari 2022 | 1:25pm
Kapal tentera laut New Zealand, HMNZS Aotearoa membawa bantuan bencana akan tiba di Tonga Jumaat ini. - Foto Angkatan Tentera New Zealand/REUTERS
Kapal tentera laut New Zealand, HMNZS Aotearoa membawa bantuan bencana akan tiba di Tonga Jumaat ini. - Foto Angkatan Tentera New Zealand/REUTERS

Kapal tentera New Zealand hantar bantuan ke Tonga

SYDNEY: Dua kapal tentera laut New Zealand yang membawa bantuan bencana akan tiba di Tonga Jumaat ini, iaitu bekalan antarabangsa pertama yang sampai ke negara kepulauan Pasifik itu selepas tragedi letusan gunung berapi dan tsunami.

Beratus-ratus rumah di pulau kecil dekat luar Tonga musnah, dan sekurang-kurangnya tiga maut, selepas letusan dahsyat pada Sabtu lalu yang menurut kerajaan 'bencana yang belum pernah terjadi sebelumnya'.

Dengan komunikasi terjejas teruk akibat kabel telekomunikasi dasar laut masih terputus, maklumat mengenai skala kemusnahan setakat ini kebanyakannya datang daripada pesawat peninjau.

Kementerian Luar New Zealand berkata, kerajaan Tonga sudah meluluskan ketibaan kapal HMNZS Wellington dan HMNZS Aotearoa di negara bebas COVID-19 itu, yang mana kebimbangan potensi penularan wabak itu berkemungkinan merumitkann usaha agihan bantuan.

"Kapal berkenaan dijangka tiba di Tonga pada Jumaat, bergantung kepada keadaan cuaca," kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, pesawat kedua pengawasan pertahanan New Zealand, P3 Orion akan terbang melintasi Tonga dan Fiji hari ini untuk menilai kerosakan akibat bencana tsunami.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang bersiap sedia untuk menjalankan operasi bantuan ke Tonga dari jauh bagi mengelak penularan wabak COVID-19 di negara kepulauan Pasifik itu, menurut kenyataan seorang pegawainya.

Penyelaras PBB yang berpangkalan di Fiji, Jonathan Veitch, dalam taklimat media, berkata agensi itu akan menjalankan kebanyakan operasi dari jauh, dan mungkin tidak menghantar kakitangan ke pulau itu.

"Kita percaya akan dapat menghantar penerbangan dengan bekalan bantuan. Kita tidak pasti sama ada boleh menghantar penerbangan dengan kakitangan dan sebabnya Tonga mempunyai dasar bebas COVID-19 yang sangat ketat," katanya.

Beliau berkata, Tonga adalah satu daripada beberapa negara yang bebas COVID-19 dan jika berlaku penularan wabak di sana, ia akan membawa kepada satu lagi bencana.

Negara pulau kecil itu mempunyai 90 peratus liputan imunisasi bagi kategori dewasa dan remaja berumur 12 tahun ke atas.

"Mereka sangat berhati-hati untuk membuka sempadan seperti kebanyakan pulau Pasifik, dan itu didorong sejarah wabak penyakit di Pasifik yang mengorbankan masyarakat di sana," katanya.

Veitch turut memberitahu, PBB mempunyai 23 kakitangan di lapangan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa lain dalam usaha menyampaikan bantuan.

Sabtu lalu, gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Ha'apai meletus di Tonga dan mencetuskan tsunami di seluruh Pasifik yang membadai pesisir pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat. - REUTERS

Berita Harian X