Isnin, 17 Januari 2022 | 3:43pm
Pesawat Tentera Udara Australia dan Angkatan Pertahanan Australia sedang bersedia untuk berlepas dari Pangkalan RAAF Amberley di Queensland untuk membantu kerajaan Tonga selepas letusan gunung berapi Hunga-Tonga - Hunga-Haa'pai. - Foto AFP
Pesawat Tentera Udara Australia dan Angkatan Pertahanan Australia sedang bersedia untuk berlepas dari Pangkalan RAAF Amberley di Queensland untuk membantu kerajaan Tonga selepas letusan gunung berapi Hunga-Tonga - Hunga-Haa'pai. - Foto AFP

Tonga terputus hubungan susulan letusan gunung berapi

SYDNEY: Tonga dilaporkan hampir terputus hubungan daripada seluruh dunia semalam selepas letupan gunung berapi besar-besaran melumpuhkan komunikasi dengan negara kepulauan Pasifik itu, selain pakar memberi amaran sambungan internet mungkin tidak sepenuhnya dapat dipulihkan sehingga beberapa minggu.

Ia susulan letusan gunung berapi Hunga Tonga-Hunga Haa'pai berlaku sejak tiga hari lalu menyelubungi Tonga dengan lava, mencetuskan tsunami di seluruh Pasifik dan mengakibatkan berlaku gelombang kuat di seluruh bumi.

Bagaimanapun, negara jiran dan agensi antarabangsa berusaha untuk cuba menilai skala kerosakan, termasuk Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern kelmarin menyatakan letusan itu mengakibatkan 'kerosakan teruk'.

Wellington dan Canberra pula dilaporkan bergegas menggerakkan pesawat peninjau dalam usaha mengetahui kerosakan dari udara semalam dengan kedua-duanya bersiap sedia meletakkan pesawat pengangkut tentera C-130 untuk menggugurkan bekalan kecemasan atau mendarat jika landasan dibenarkan beroperasi.

Apa yang diketahui ialah letupan gunung berapi pada Sabtu mengakibatkan kerosakan serius ibu kota Nuku'alofa yang dilitupi abu dan memutuskan kabel komunikasi dasar laut yang dijangka mengambil masa dua minggu untuk dipulihkan.

Letusan itu direkodkan di seluruh dunia dan kedengaran hingga ke Alaska, mencetuskan tsunami yang membanjiri pantai Pasifik dari Jepun ke Amerika Syarikat (AS).

"Kami tahu air adalah keperluan mendesak," kata Ardern kepada pemberita sambil menyatakan New Zealand bergantung pada telefon satelit untuk berkomunikasi dengan negara kepulauan itu yang menempatkan kira-kira 100,000 penduduk.

Katanya, pesawat peninjau itu akan membantu memberi khidmat nasihat kepada kerajaan Tonga mengenai skala kerosakan gunung berapi dan tsunami, selain membantu mengenal pasti keperluan bantuan.

Beliau juga memaklumkan sudah menghubungi Kedutaan New Zealand di Tonga dan diberikan taklimat bagaimana bot dan 'batu besar' terdampar di utara Nuku'alofa.

Dalam pada itu, Menteri pertahanan Wellington, memaklumkan negara kepulauan itu berjaya memulihkan kuasa di 'bahagian besar' bandar terbabit.

Komunikasi yang lumpuh menyebabkan warga Tonga di luar negara terdesak untuk mengikuti perkembangan letusan serta keadaan orang tersayang.

Sementara itu, menurut Pengarah Rangkaian Southern Cross Cable Network, Dean Veverka kepada AFP, internet Tonga mungkin kekal tidak berfungsi sehingga dua minggu.

"Kami menerima maklumat tidak jelas namun yang pasti, kabel sudah dipotong. Ia akan mengambil masa sehingga dua minggu untuk dipulihkan. Kapal pemasangan kabel terdekat adalah di Port Moresby," katanya yang merujuk kepada ibu negara Papua New Guinea terletak lebih 4,000 kilometer dari Tonga.

Southern Cross membantu Tonga Cable Limited yang memiliki kabel sepanjang 872 kilometer yang menghubungkan negara pulau itu dengan Fiji serta ke seluruh dunia.

Punca awal kerosakan itu dipercayai disebabkan oleh kegagalan kuasa berikutan letusan kuat berkenaan.

Namun, pemeriksaan lanjut selepas bekalan kuasa dipulihkan menunjukkan kerosakan pada kabel.

Tonga sebelum ini terputus hubungan dengan dunia luar selama dua minggu pada 2019 apabila sauh kapal memotong kabel dan perkhidmatan satelit kecil yang dikendalikan syarikat tempatan bertujuan memberikan hubungan yang minimum dengan dunia luar. - AFP

Berita Harian X