Isnin, 17 Januari 2022 | 1:41pm
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison - Foto EPA
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison - Foto EPA

Kekurangan kit ujian COVID-19 'bukan unik' kepada Australia

SYDNEY: Perdana Menteri Australia, Scott Morrison menegaskan kekurangan kit ujian antigen 'bukan sesuatu yang unik' di negara itu ketika pihak berkuasa menangani penularan Omicron yang menyebabkan lonjakan kadar kemasukan ke hospital dan sistem ujian.

Australia berdepan kekurangan kit ujian antigen selepas kontak rapat tidak bergejala diminta membuat ujian kendiri dan tidak membuat saringan di hab dibiayai kerajaan, yang ketika ini mengalami kelewatan keputusan ujian untuk beberapa hari.

"Bekalan kit ujian antigen berkurangan di seluruh dunia. Ini bukan sesuatu unik bagi Australia. Ia sebahagian daripada pengendalian Omicron yang mengganggu segala-galanya," katanya kepada stesen radio 2GB, hari ini.

Selepas berjaya membendung virus ketika awal pandemik, Australia melaporkan hampir 1.3 juta kes dalam tempoh dua minggu lalu.

Jangkitan harian menurun di negeri paling ramai penduduk di Australia, New South Wales dan Victoria ketika jangkaan gelombang Omicron menghampiri kemuncak di negara itu, tetapi angka kemasukan ke hospital kekal tinggi dengan lebih ramai kes dimasukkan berbanding tempoh lain ketika pandemik.

Sebanyak 52,970 kes dilaporkan di New South Wales, Victoria dan Tasmania, menjelang lewat pagi dengan negeri lain akan dilaporkan kemudian.

Angka harian kebangsaan mencecah rekod 150,000, Khamis lalu, tetapi terus mencatatkan penurunan sejak itu.

Ia juga mengancam pemulihan ekonomi Australia dengan peningkatan jumlah pekerja sakit atau diarah mengasingkan diri yang membawa kepada kekurangan kakitangan dan mengganggu rantaian bekalan perniagaan.

Bendahari Persekutuan, Josh Frydenberg di ruangan pendapat akhbar The Australian, berkata 'terdapat sedikit keraguan mengenai penularan pantas Omicron menyebabkan perubahan tingkah laku orang ramai dan menjejaskan keyakinan', tetapi berharap ia akan segera mencapai tempoh kemuncak.

Australia ketika ini melaporkan hampir 1.6 juta jangkitan dan 2,691 kematian sejak permulaan pandemik.

Sementara itu, pengawal selia persaingan Australia hari ini menyuarakan 'kebimbangan ketara' mengenai aduan pencatutan harga kit ujian antigen COVID-19 dan cuba mendapatkan maklumat mengenai peningkatan harga daripada pembekal, peruncit dan rangkaian farmasi.

Pengerusi Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Australia (ACCC), Rod Sims, dalam kenyataan berkata ketika penularan COVID-19, penetapan harga berlebihan bagi ujian antigen diperlukan untuk mendiagnosis penyakit dan melindungi orang awam, menjadi kebimbangan ketara.

Katanya, terdapat laporan kit ujian dijual sehingga A$500 (RM1,507.53) dalam talian, manakala A$70 (RM211.04) di kedai apabila ia boleh didapati dengan harga sekitar A$10 (RM30.15) di farmasi, minggu lalu. Ini sangat keterlaluan," katanya. - REUTERS

Berita Harian X