Ahad, 16 Januari 2022 | 7:28am
COVAX, yang dibangunkan bersama oleh WHO, GAVI, dan CEPI pada 2020 bermatlamat memastikan negara miskin mendapat akses kepada vaksin bagi menangani pandemik COVID-19. - Foto AGENSI
COVAX, yang dibangunkan bersama oleh WHO, GAVI, dan CEPI pada 2020 bermatlamat memastikan negara miskin mendapat akses kepada vaksin bagi menangani pandemik COVID-19. - Foto AGENSI

COVAX capai satu bilion dos edaran vaksin COVID-19

GENEVA: Skim global yang dirangka bagi memastikan akses adil vaksin COVID-19, COVAX merekodkan 'pencapaian penting' semalam apabila membekalkan dos ke 1 bilion, kata salah satu penyokong utamanya.

COVAX, yang dibangunkan bersama oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Persekutuan Vaksin GAVI, dan Gabungan Inovasi Kesiapsiagaan Epidemik (CEPI) pada 2020 bermatlamat memastikan negara miskin mendapat akses kepada vaksin bagi menangani pandemik berkenaan.

"COVAX telah mengedarkan sejumlah 1 bilion dos pertama vaksin COVID-19 ke 144 negara dan wilayah di seluruh dunia.

"Ia adalah peristiwa penting dalam pengedaran vaksin global terbesar dan paling pantas dalam sejarah," kata Ketua Eksekutif GAVI, Seth Berkley dalam ciapannya di Twitter.

Berkley mengeluarkan kenyataan itu sebaik pesawat yang membawa bekalan dos ke 1 bilion itu mendarat di Kigali, Rwanda petang semalam.

"Saya dengan rasa rendah hati dan bangga kerana dapat capai sejauh ini untuk melindungi semua orang dan menyelesaikan ketidaksamaan vaksin," katanya.

COVAX mencecah edaran vaksin 1 bilion kurang daripada setahun selepas menghantar dos vaksin pertamanya pada penghujung Februari lalu ke Ghana.

Berkley dalam satu kenyataan semalam berkata, beliau 'berbangga kerana hampir 90 peratus daripada 1 bilion dos pertama COVAX telah dihantar dan dibiayai penuh untuk diedarkan ke negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Bagaimanapun, COVAX gagal mencapai objektif awalnya untuk mengedarkan dua bilion dos vaksin COVID-19 menjelang akhir tahun 2021.

Ia disebabkan, persaingan dengan negara kaya yang sanggup membayar harga yang tinggi dan pembelian dalam skala besar. - AFP

Berita Harian X