Jumaat, 7 Januari 2022 | 4:40pm
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menggesa supaya keganasan di Kazakhstan dihentikan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kenaikan harga bahan api. - Foto AGENSI
Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menggesa supaya keganasan di Kazakhstan dihentikan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kenaikan harga bahan api. - Foto AGENSI

OIC seru henti keganasan di Kazakhstan

ANKARA: Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam menggesa supaya keganasan di Kazakhstan dihentikan berikutan tunjuk perasaan besar-besaran terhadap kenaikan harga bahan api.

OIC dalam satu kenyataan menyatakan kebimbangan terhadap perkembangan di negara itu dan turut bersedih di atas puluhan orang yang terkorban serta kerosakan harta benda akibat keganasan, lapor Agensi Anadolu.

Organisasi itu juga menyatakan solidariti bersama kerajaan Kazakhstan dalam memelihara keamanan, keselamatan dan kestabilan, serta menyeru rakyatnya menghentikan keganasan.

Pasukan keselamatan Kazakhstan berkata berpuluh-puluh penunjuk perasaan terkorban ketika cuba mengambil alih bangunan kerajaan di Almaty, bandar raya terbesar di Kazakhstan.

Keadaan dilaporkan terkawal di bandar Shymkent berhampiran sempadan Uzbekistan dan Aktau yang terletak di pantai timur Laut Caspian.

Presiden Kassym-Jomart Tokayev juga mengumumkan perintah berkurung di Almaty, di mana beribu-ribu rakyatnya bertindak turun ke jalan raya.

Tunjuk perasaan tercetus di barat Kazakhstan pada 2 Januari akibat kenaikan harga gas petroleum cecair (LPG) yang kemudian merebak ke bahagian lain negara itu.

Perintah darurat telah diisytiharkan di Almaty dan wilayah Mangystau yang kaya dengan minyak demi menjamin keselamatan awam.

Tokayev juga meluluskan peletakan jawatan menteri-menteri kerajaan.

Beliau kemudiannya meminta bantuan perikatan tentera yang diketuai Rusia, iaitu Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO), yang bersetuju menghantar pasukan pengaman.

- BERNAMA

Berita Harian X