Isnin, 29 November 2021 | 10:23am
Gambar fail, Saintis Afrika Selatan, Dr Angelique Coetzee.
Gambar fail, Saintis Afrika Selatan, Dr Angelique Coetzee.

Keletihan teruk antara gejala varian Omicron

AFRIKA SELATAN: Doktor yang memberi amaran mengenai varian baharu COVID-19, iaitu Omicron memaklumkan simptom dihadapi pesakit adalah luar biasa, tetapi sederhana.

Dr Angelique Coetzee berkata, beliau mula-mula dimaklumkan mengenai kemungkinan ada varian baharu apabila pesakit yang dirawat di sebuah klinik swasta di Pretoria, mempunyai gejala COVID-19 yang tidak masuk akal.

Mirror.co melaporkan, mereka termasuk golongan muda dari pelbagai latar belakang yang mengalami keletihan teruk, dengan seorang kanak-kanak berusia enam tahun mempunyai kadar nadi yang tinggi.

Tiada seorang pun daripada mereka kehilangan deria rasa atau bau, yang kedua-duanya banyak dikaitkan dengan gejala COVID-19 'tradisional'.

"Simptom mereka amat berbeza dan sangat ringan daripada yang pernah saya rawat sebelum ini, kata Dr Coetzee, pegawai perubatan mempunyai pengalaman selama 33 tahun yang juga Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan.

Pada 18 November, apabila empat sekeluarga yang disahkan positif COVID-19 mengalami keletihan teruk, beliau memaklumkan Jawatankuasa Penasihat Vaksin negara itu.

Katanya, secara keseluruhannya, kira-kira 24 pesakit yang disahkan positif COVID-19 dengan simptom Ommicron - yang kini sedang menular menyebabkan banyak negara melakukan sekatan perjalanan.

Kebanyakan mereka lelaki sihat, tiba-tiba 'merasa sangat letih' dan kira-kira separuh daripada mereka tidak mengambil vaksin.

Saintis Afrika Selatan berkata, Omicron menjadi punca peningkatan mendadak kes di wilayah Gauteng di negara itu.

Di United Kingdom (UK), kerajaan meletakkan beberapa negara Afrika selatan dalam senarai perjalanan merah - walaupun sejumlah kecil kes sudah dilaporkan di seluruh Eropah.

Terdapat dua kes yang disahkan varian Omicron di UK. - AGENSI

Berita Harian X