Isnin, 29 November 2021 | 9:46am
Penularan pandemik COVID-19 merugikan hasil sektor pelancongan global sebanyak AS$2 trilion (RM8.5 trilion) tahun ini. - Foto TWITTER/UNWTO
Penularan pandemik COVID-19 merugikan hasil sektor pelancongan global sebanyak AS$2 trilion (RM8.5 trilion) tahun ini. - Foto TWITTER/UNWTO

Sektor pelancongan global rugi hampir RM9 trilion tahun ini

MADRID: Penularan pandemik COVID-19 merugikan hasil sektor pelancongan global sebanyak AS$2 trilion (RM8.5 trilion) pada tahun ini, menurut badan pelancongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) hari ini.

Untuk melihat sektor itu dipulih, ia bakal berdepan liku-liku dan dijangka bergerak perlahan.

Jangkaan Organisasi Pelancongan Dunia PBB (UNWTO) yang berpangkalan di Madrid itu susulan negara Eropah sedang bergelut semula dengan lonjakan jangkitan dan diburukkan lagi dengan varian COVID-19 baharu dikenali sebagai Omicron yang menular ke seluruh dunia.

Ketibaan pelancongan antarabangsa pada tahun ini akan kekal di bawah lingkungan 70 hingga 75 peratus, lebih rendah daripada 1.5 bilion ketibaan yang direkodkan pada 2019 iaitu ketika sebelum di badai pandemik.

Trend penyusutan sama berlaku tahun lalu, menurut organisasi itu.

Sektor pelancongan global sudahpun kerugian AS$2 trilion (RM8.5 trilion) dari segi hasil pada tahun lalu kerana pandemik, menurut UNWTO.

Ia sekali gus menjadikan sektor itu paling teruk terjejas akibat krisis kesihatan.

UNWTO menjangkakan meskipun ada promosi pelancongan dilakukan, namun ia mungkin tidak akan mempengaruhi prestasi sektor itu pada tahun depan.

Ini berikutan ramalan jangkaan sederhana untuk sektor itu tidak memberangsangkan.

"Walaupun peningkatan baru-baru ini, kadar vaksinasi tidak sekata di seluruh dunia dan dengan strain baharu COVID-19 seperti varian Delta dan Omicron, kemungkinan impak pemulihannya akan perlahan dan rapuh," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ketua UNWTO, Zurab Pololikashvili, pelaksanaan sekatan baharu dan perintah berkurung di beberapa negara beberapa minggu lalu menunjukkan bahawa situasi amatlah tidak dijangka.

"Ia adalah krisis bersejarah dalam industri pelancongan tetapi pelancongan ada kuasa untuk pulih dengan cepat," katanya pada Perhimpunan Agung Tahunan WTO di sini, hari ini.

Pololikashvili turut menegaskan supaya semua negara mengharmonikan protokol virus dan sekatan kerana pelancongan berdepan kekeliruan sehingga mereka tidak tahu bagaimana untuk melakukan perjalanan.

Daripada keseluruhan 46 destinasi, 21 peratus daripadanya adalah negara yang menutup penuh sempadan kepada pelancong, menurut UNWTO.

Sementara itu, 55 negara lagi menutup sempadan kepada sebahagian pengembara asing, manakala hanya empat negara menarik balik semua sekatan berkaitan COVID-19 seperti Colombia, Costa Rica, Republik Dominca dan Mexico.

Sebelum pandemik melanda, sektor pelancongan menyumbang sekitar 10 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan pekerjaan dunia. - AFP

Berita Harian X