Rabu, 15 September 2021 | 11:02am
CEO Apple, Tim Cook melancarkan iPhone 13 pada acara khas di Apple Park. - Foto AFP
CEO Apple, Tim Cook melancarkan iPhone 13 pada acara khas di Apple Park. - Foto AFP

Apple lancarkan iPhone baru

SAN FRANCISCO: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook melancarkan video yang dihasilkan dengan sempurna semalam bagi pelancaran iPhone baharu, memberi bayangan mengenai masalah yang luar biasa yang dihadapi oleh syarikatnya termasuk pembalikan polisi, serangan spyware dan pertikaian undang-undang.

Daripada auditorium kosong dan gelap, Cook memberi penerangan mengenai kamera yang ditingkatkan, skrin yang lebih cerah dan ciri baru untuk beberapa peranti gergasi Silicon Valley yang lain seperti iPad.

"Ini adalah iPhone terbaik yang pernah kami hasilkan," kata Cook, sambil menjelaskan usaha Apple merancang dan menghasilkan produk dan perkhidmatan terbaik bagi memperkayakan kehidupan pengguna.

Namun, beberapa masalah yang memuncak menjadi perbincangan umum mengenai salah satu syarikat paling berharga di dunia itu.

Ia susulan pertikaian yang panjang terhadap pasaran aplikasi dalam taliannya, yang mana minggu lalu seorang hakim memerintahkan Apple membenarkan pembangun untuk mengetepikan komisen besar dalam pembelian.

Ini juga telah menangguhkan rancangan untuk mengimbas peranti pelanggannya sebagai sebahagian dari langkah pencegahan penyalahgunaan oleh kanak-kanak, selepas penyokong privasi menyatakan ia berisiko membuka pintu belakang untuk pengawasan kerajaan.

Semalam, pihaknya terpaksa melakukan pembaikan segera selepas penyelidik keselamatan siber menemui kelemahan yang membolehkan perisian risikan Pegasus menjangkiti peranti Apple dan mengklik mesej berbahaya.

Begitupun, Apple masih memiliki jangkauan besar dalam dunia digital dan seterusnya, dan bernilai lebih dari AS$ 2 trilion (RM8.34 trilion).

Peminat Apple gembira dengan keluaran produk yang diperbaharui semalam, termasuk penganalisis Daniel Ives yang menyatakan 'supercycle untuk Cupertino' merujuk kepada California yang menjadi ibu pejabat Apple.

"Apple kekal di tengah-tengah kitaran produk terkuatnya dalam tempoh hampir sedekad," tambahnya.

Rangkaian iPhone 13 merangkumi empat model, dari versi Mini hingga Pro Max, dengan harga yang sama dengan iPhone 12 yang dilancarkan tahun lalu.

Kamera dan bateri iPhone 13 lebih kuat, dan keupayaan 5G akan diperluas ke lebih dari 200 pengendali mudah alih di 60 negara dan wilayah pada akhir tahun ini. - AFP

Berita Harian X