X
Rabu, 7 Julai 2021 | 9:02am
Gambar rakaman pada 2020 pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi United Memorial Medical Center, Houston, Texas. Kajian menunjukkan ubat arthritis seperti tocilizumab dan sarilumab mengurangkan risiko kematian dan keperluan sokongan pernafasan. - Foto AFP
Gambar rakaman pada 2020 pesakit COVID-19 di unit rawatan rapi United Memorial Medical Center, Houston, Texas. Kajian menunjukkan ubat arthritis seperti tocilizumab dan sarilumab mengurangkan risiko kematian dan keperluan sokongan pernafasan. - Foto AFP

Ubat artritis kurangkan kematian pesakit COVID-19

WASHINGTON: Analisis hampir 11,000 pesakit yang diterbitkan semalam, mendapati ubat artritis, tocilizumab dan sarilumab mengurangkan risiko kematian dan keperluan ventilator, dalam kalangan pesakit COVID-19 dirawat di hospital.

Kajian diterbitkan Jurnal Persatuan Perubatan Amerika itu mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan ubat dikenali sebagai perencat IL-6, tambahan kepada kortikosteroid dalam kalangan pesakit COVID-19 yang teruk atau kritikal.

Profesor di King's College London dan penulis utama kajian itu, Manu Shankar-Hari, berkata penyelidikan berkenaan ialah bukti nyata yang mengesahkan keberkesanan ubat terbabit, selepas kajian terdahulu memberikan hasil pelbagai.

Dalam kalangan pesakit COVID-19 dirawat di hospital, pemberian tambahan ubat selain kortikosteroid mengurangkan risiko kematian sebanyak 17 peratus, berbanding penggunaan kortikosteroid sahaja.

Risiko bertukar kepada bantuan pernafasan mekanikal atau kematian bagi pesakit tidak menggunakan alat bantuan pernafasan dikurangkan sebanyak 21 peratus, berbanding hanya penggunaan kortikosteroid.

Pesakit COVID-19 parah berdepan reaksi sistem ketahanan badan dikenali 'lampau sitokin', boleh menyebabkan kerosakan teruk pada organ dan kematian.

Tocilizumab dan sarilumab digunakan untuk merawat artritis reumatoid, keadaan autoimun, dengan menghalang kesan interleukin (IL) -6, sejenis protein dikenali sitokin yang memberi isyarat kepada tubuh untuk meningkatkan tindak balas terhadap keradangan.

Bagaimanapun, penyelidikan terdahulu mengenai sama ada perencat IL-6 boleh digunakan merawat COVID-19 teruk, melaporkan pelbagai manfaat serta tiada kesan dan bahaya.

Ini mendorong WHO untuk menyelaras kajian baharu, menggabungkan data daripada 27 percubaan rawak dilakukan di 28 negara.

Analisis itu merangkumi maklumat mengenai 10,930 pesakit, antaranya 6,449 ditugaskan secara rawak untuk menerima perencat interleukin-6, manakala 4,481 lagi bagi rawatan biasa atau plasebo.

Keseluruhannya, risiko kematian dalam 28 hari ialah 22 peratus, berbanding risiko andaian 25 peratus dalam kalangan penerima rawatan biasa sahaja.

Hasilnya lebih baik apabila pesakit turut menerima kortikosteroid, dengan risiko maut 21 peratus, berbanding 25 peratus jika hanya menjalani rawatan biasa.

Ini bermana, empat daripada 100 pesakit sedemikian akan terselamat.

Ia turut mengkaji kesan ubat berkenaan, sama ada menyebabkan pesakit perlu menggunakan alat bantuan pernafasan atau kematian.

Antara pesakit turut diberikan kortikosteroid, mereka yang menerima perencat IL-6 berisiko sebanyak 26 peratus, berbanding jangkaan 33 peratus bagi mereka yang menerima rawatan biasa.

Ini bermakna, tujuh daripada 100 pesakit terbabit akan terselamat dan mengelak bantuan pernafasan mekanikal.

Tocilizumab dan sarilumab diberikan secara seduhan atau suntikan ketika ini disyor digunakan bersama dengan kortikosteroid pada pesakit COVID-19 teruk oleh Britain, selain Amerika Syarikat turut mengesyorkan ubat sama.

Shankar-Hari berharap pertubuhan global seperti WHO boleh mula melobi untuk meningkatkan akses bagi ubat kos rendah dan sederhana, kerana kos tinggi boleh menjadi larangan bagi penggunaan secara meluas. - AFP

Berita Harian X