Jumaat, 11 Jun 2021 | 7:17am
Negara anggota G7 bersetuju menyediakan sekurang-kurangnya satu bilion dos vaksin COVID-19 kepada dunia melalui skim perkongsian dan pembiayaan. - Foto AFP
Negara anggota G7 bersetuju menyediakan sekurang-kurangnya satu bilion dos vaksin COVID-19 kepada dunia melalui skim perkongsian dan pembiayaan. - Foto AFP

G7 sedia satu bilion dos vaksin COVID-19 kepada dunia

FALMOUTH: Pemimpin G7 akan bersetuju untuk memperluas pengeluaran vaksin COVID-19 global bagi menyediakan sekurang-kurangnya satu bilion dos kepada dunia melalui skim perkongsian dan pembiayaan, kata Britain semalam.

United Kingdom (UK), yang menjadi tuan rumah kepada perhimpunan kuasa besar itu di barat daya England, menambah ia akan menyumbang sekurang-kurangnya 100 juta lebihan dos pada tahun depan, termasuk lima juta bermula minggu akan datang.

Komitmen itu berikutan gesaan yang bertambah kepada negara kaya untuk mempertingkat usaha mereka berkongsi suntikan vaksin COVID-19 dengan negara kurang membangun, dengan pihak kebajikan memberi amaran situasi ketika ini sedang menuju ke arah 'vaksin apartheid'.

Britain yang menempah lebih 400 juta dos berdepan kritikan kerana gagal untuk memulakan sumbangan kepada negara lebih miskin.

Bagaimanapun, sehari sebelum menyambut kedatangan pemimpin dunia daripada kumpulan tujuh negara kaya itu ke sidang kemuncak pertama mereka dalam masa hampir dua tahun, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, berikrar yang perkara itu akan berubah kelak.

"Hasil kejayaan program vaksin UK, kami kini dalam kedudukan untuk berkongsi sebahagian dos lebihan kami kepada mereka yang memerlukan.

"Justeru, kami akan mengambil langkah besar-besaran bagi menewaskan pandemik ini untuk selama-lamanya.

"Pada sidang kemuncak G7, saya harap rakan pemimpin akan membuat ikrar yang sama supaya kita dapat bersama-sama memvaksin dunia menjelang hujung tahun dan membina semula dengan lebih baik akibat coronavirus," katanya.

Downing Street dalam satu kenyataan berkata: "Pada sidang itu, pemimpin dunia dijangka mengumumkan akan menyediakan sekurang-kurangnya satu bilion dos vaksin coronavirus kepada dunia melalui perkongsian dan pembiayaan dos serta menetapkan rancangan untuk memperluas pengeluaran vaksin dalam usaha mencapai sasaran itu." - AFP

Berita Harian X