Jumaat, 4 Jun 2021 | 7:01am
Peralatan perubatan daripada Perancis untuk Nepal tiba lapangan terbang antarabangsa di Kathmandu, semalam. - Foto AFP
Peralatan perubatan daripada Perancis untuk Nepal tiba lapangan terbang antarabangsa di Kathmandu, semalam. - Foto AFP

AS sumbang 80 juta dos vaksin

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memaklumkan perancangan untuk pengagihan 80 juta dos vaksin COVID-19 ke seluruh dunia, dengan 75 peratus daripadanya akan diberikan menerusi fasiliti COVAX.

Berdasarkan maklumat daripada Rumah Putih, vaksin yang dikongsi AS menerusi COVAX akan mengutamakan negara di Amerika Latin dan Caribbean, Asia Selatan dan Asia Tenggara serta Afrika.

"Kami berkongsi vaksin ini bukan untuk mendapat sokongan atau konsesi. Kami mahu menyelamatkan nyawa dan mengetuai usaha menamatkan pandemik ini, dengan menjadikan nilai kami sebagai contoh," kata Biden dalam kenyataan pada Khamis.

Terdahulu, Biden berikrar untuk mengeksport 80 juta dos vaksin COVID-19 ke seluruh dunia menjelang akhir bulan ini.

Komitmen itu susulan desakan daripada beberapa negara supaya AS menggunakan lebihan vaksin berkenaan untuk membantu negara yang sedang bergelut dengan wabak itu, memandangkan pengagihan vaksin itu di AS sudah mencapai kemajuan memberangsangkan.

Penyelaras maklum balas COVID-19 Rumah Putih, Jeff Zients, berkata proses untuk mengeksport 25 juta dos pertama vaksin kini sedang berjalan.

"Kami akan memastikan komitmen Presiden AS untuk menghantar 80 juta dos menjelang akhir Jun," katanya.

COVAX ialah skim antarabangsa yang diwujudkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bermatlamat memastikan akses vaksin mencukupi kepada 30 peratus populasi di 92 wilayah termiskin yang menyertainya, termasuk 20 peratus di India, dengan kos dibiayai penderma.

Penduduk menunggu giliran mengambil suntikan vaksin COVID-19 di Karachi, selepas kerajaan memaklumkan tidak akan membayar gaji kakitangan awam mulai bulan depan, jika mereka tidak divaksin. - Foto AFP
Penduduk menunggu giliran mengambil suntikan vaksin COVID-19 di Karachi, selepas kerajaan memaklumkan tidak akan membayar gaji kakitangan awam mulai bulan depan, jika mereka tidak divaksin. - Foto AFP

Berdasarkan perancangan AS, daripada 25 juta dos pertama vaksin yang akan diagihkan, kira-kira tujuh juta dikhususkan untuk negara Asia, khususnya India, Nepal, Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Afghanistan, Vietnam, Papua New Guinea dan Taiwan.

Kira-kira enam juta dos pula diperuntuk kepada negara di Amerika Selatan dan Amerika Temgah serta Caribbean, termasuk Brazil, Argentina, Colombia, Costa Rica, Peru, Guatemala dan Haiti.

Sejumlah lima juta dos lagi khusus untuk negara Afrika dan akan diagihkan dengan kerjasama Kesatuan Afrika, kata Penasihat Keselamatan Nasional AS, Jake Sullivan. - AFP

Berita Harian X