Ahad, 16 Mei 2021 | 7:17pm
Tentara Israel menembak howitzer ke arah Semenanjung Gaza dari sempadan dengan Palestin, hari ini. - Foto AFP
Tentara Israel menembak howitzer ke arah Semenanjung Gaza dari sempadan dengan Palestin, hari ini. - Foto AFP

Tentera Iran sokong perjuangan Palestin

TEHRAN: Iran akan memberikan sokongan kepada rakyat Palestin berdepan jenayah didalangi Israel yang semakin meruncing di Baitulmaqdis dan Gaza.

Komander Pasukan Pengawal Quds Revolusi Iran, Brigedier Jeneral Ismail Qaani, menyuarakan pendirian itu ketika menghubungi Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh dan Setiausaha Agung kumpulan jihad Islam, Ziyad al-Nakhalah.

Berdasarkan laporan agensi berita IRNA, Ismail memaklumkan kepada Hamas, Iran akan sentiasa berada di sisi Palestin dan mengutuk tindakan Israel yang bercanggah dengan undang-undang serta konvensyen antarabangsa.

Dalam panggilan telefon berasingan, Ismail memberitahu al-Nakhalah Tehran menyokong hak Palestin untuk bertindak terhadap keganasan dan jenayah yang dilakukan musuh Zionis.

Ismail turut memuji perkembangan semasa yang menyaksikan penentangan rakyat Palestin dan kemampuan penduduk wilayah bergolak mempertahan penempatan mereka.

Panggilan telefon itu dibuat ketika pertembungan paling hebat yang pernah berlaku, selepas 2014 antara Israel dan pejuang Islam, Hamas, sehingga mengorbankan 181 orang di wilayah Gaza dan menyebabkan 10 orang terbunuh di Israel, sejak bedilan tercetus Isnin lalu.

Lelaki Palestin meratap jenazah keluarga Kawlak yang terkorban selepas serangan udara lewat malam oleh Israel di kejiranan Rimal, bandar Gaza, hari ini. - Foto AFP
Lelaki Palestin meratap jenazah keluarga Kawlak yang terkorban selepas serangan udara lewat malam oleh Israel di kejiranan Rimal, bandar Gaza, hari ini. - Foto AFP

Pasukan Quds (Baitulmaqdis) ialah operasi tentera elit luar Pengawal Revolusi (Iran), dengan sebelum ini diketuai Qasem Soleimani, yang dibunuh dalam insiden serangan udara oleh Amerika Syarikat (AS) di Baghdad, pada Januari tahun lalu.

Republik Islam itu tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara, sebaliknya sokongan kepada ideologi perjuangan rakyat Palestin dijadikan antara teras utama dasar luar Iran sejak revolusi 1979.

Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, pada bulan ini melabel Israel sebagai bukan negara, tetapi suatu pangkalan pengganas.

Sehubungan itu, katanya, tugas untuk menentang kezaliman, penindasan dan keganasan didalangi regim Israel ialah tanggungjawab setiap orang. - AFP

Berita Harian X