Rabu, 11 Januari 2023 | 12:33pm
Meriam melepaskan tembakan ketika Russia menyerang Soledar, wilayah Donetsk di Ukraine. - Foto REUTERS
Meriam melepaskan tembakan ketika Russia menyerang Soledar, wilayah Donetsk di Ukraine. - Foto REUTERS

Soledar terus diserang hebat tentera upahan Russia

KYIV: Bandar perlombongan garam di timur Ukraine, Soledar dilaporkan sedang bertahan dalam ketidakpastian ekoran serangan hebat tentera upahan Russia, Kumpulan Wagner.

Bagi Russia, Soledar mempunyai nilai simbolik, ketenteraan, malah komersial untuk negara itu dan jika tenteranya menawan bandar dan lombong garamnya yang besar, ia akan menjadi keuntungan terbesar Moscow sejak beberapa siri kekalahan pada 2022.

Angkatan bersenjata Ukraine pula berkata, tentera Russia turut melakukan serangan kereta kebal dan mortar ke atas Avdiivka, yang menjadi tumpuan kedua tentera Russia di selatan Bakhmut dan tidak jauh dari bandar Donetsk, yang dikuasai proksi Russia sejak 2014.

Katanya, tentera Rusia sudah membedil 13 penempatan di dalam dan sekitar wilayah Kharkiv, yang sebahagian besarnya sudah dirampas semula oleh Ukraine pada September dan Oktober.

Sehingga kini, Reuters tidak dapat mengesahkan laporan sebenar keadaan di medan perang.

Agensi berita milik kerajaan TASS, melaporkan Russia juga turut melantik Kolonel Jeneral Alexander Lapin sebagai ketua kakitangan tentera darat negara itu meskipun pernah berdepan kritikan berhubung prestasinya di Ukraine.

Selain itu, salah seorang sekutu terdekat Presiden Russia, Vladimir Putin berkata, Moscow kini mahu memerangi pakatan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang diketuai Amerika Syarikat (AS) di Ukraine dan Barat pula cuba menghapuskan Russia daripada peta politik dunia.

Selain itu, negara kuasa besar terus membantu Ukraine, antaranya Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock, yang membuat lawatan mengejut ke Kharkiv, menjanjikan lebih banyak senjata serta 'tawaran konkrit' untuk membantu Ukraine menyertai Kesatuan Eropah (EU).

Seorang pegawai AS turut mengesahkan, tentera Ukraine dijangka memulakan latihan mengenai sistem pertahanan peluru berpandu Patriot di pangkalan tentera di AS dalam beberapa minggu akan datang ini.

Pejabat Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, pula berkata, negara itu akan membeli Sistem Peluru Berpandu Permukaan ke Udara Termaju Nasional (NASAMS) buatan AS untuk diberikan kepada Ukraine.

Bagaimanapun, Kremlin berkata penghantaran baharu kenderaan berperisai Barat ke Ukraine akan menambah penderitaan negara jirannya itu.

"Dunia bebas mempunyai segala yang diperlukan untuk menghentikan pencerobohan Russia dan membawa kekalahan bersejarah bagi negara pengganas," balas Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. - REUTERS

Berita Harian X