Jumaat, 6 Januari 2023 | 2:10pm
Seorang lelaki melintasi gedung Poundland di London, Britain, ketika United Kingdom (UK) dilanda inflasi terburuk dalam tempoh 40 tahun pada tahap 10.1 peratus akibat kenaikan harga makanan. - Foto EPA
Seorang lelaki melintasi gedung Poundland di London, Britain, ketika United Kingdom (UK) dilanda inflasi terburuk dalam tempoh 40 tahun pada tahap 10.1 peratus akibat kenaikan harga makanan. - Foto EPA

Inflasi makanan meningkat ke tahap tertinggi di Britain

LONDON: Inflasi makanan di kedai-kedai di Britain, melonjak ke tahap tertinggi bulan lalu, dengan peruncit memberi amaran mengenai kenaikan harga sekali lagi, tahun ini.

Konsortium Perniagaan Runcit Britain (BRC), kelmarin menyatakan bahawa inflasi makanan 'memecut' kepada 13.3 peratus pada Disember, daripada 12.4 peratus pada bulan sebelumnya, kenaikan paling tinggi menurut indeks harga, bermula pada 2005.

"2023 akan menjadi satu lagi tahun yang sukar bagi pengguna dan perniagaan, kerana inflasi tidak menunjukkan tanda amaran segera," kata ketua pegawai eksekutif BRC, Helen Dickinson.

Beliau memberi contoh dengan merujuk kepada tekanan berterusan ekoran perang di Ukraine, yang mengakibatkan kenaikan kos makanan haiwan, baja dan tenaga.

Kos makanan segar naik 15 peratus berbanding tahun sebelumnya, juga kenaikan paling tinggi, daripada 14.3 peratus pada November lalu.

Namun, pada keseluruhannya, inflasi di kedai-kedai di Britain turun pada Disember, pertama kali dalam masa setahun.

Menurut BRC lagi, inflasi harga di kedai-kedai turun sedikit kepada 7.3 peratus berbanding November iaitu 7.4 peratus.

Penurunan harga secara keseluruhan, adalah disebabkan oleh peruncit yang banyak memberikan potongan harga menjelang perayaan Krismas, untuk mengalihkan lebihan inventori.

Kebanyakan kedai memesan produk lebih awal pada tahun lalu, apabila rangkaian pembekal memerlukan pembeli menunggu lebih lama dan sebelum inflasi meningkat dan menjejas pengguna.

BRC segera memberi amaran kepada pengguna bahawa penurunan harga itu tidak bermakna berakhirnya inflasi, dan peruncit mungkin menaikkan semula harga lebih tinggi, mulai April, sebaik saja kerajaan menghentikan bantuan bagi bayaran bekalan tenaga.

Peruncit di Britain mula memberi potongan harga lebih awal daripada biasa, untuk mendorong pengguna mengatur perbelanjaan sepanjang musim perayaan Krismas.

Pusat-pusat beli-belah seperti John Lewis Partnership Plc, dan rantaian kedai-kedai ubat seperti Boots, kedua-duanya memulakan tawaran jualan murah pada awal November.

Bulan pertama dalam tahun baru ini mungkin suram, kerana pengguna harus melunaskan bayaran penggunaan kad kredit yang dibelanjakan pada Disember, dan bil bagi penggunaan bekalan tenaga juga harus dilunaskan.

Pengguna akan mengutamakan perbelanjaan bagi barangan keperluan harian, yang harganya terus meningkat, sementara perbelanjaan bagi barangan yang tidak perlu, seperti pakaian dan peralatan rumah ditangguhkan dulu.

Menurut ketua perniagaan dan sektor perniagaan runcit di NielsenIQ, Mike Watkins, sektor itu akan terjejas.

Sejauh mana kesannya, masih belum diketahui kerana BRC sedang mengumpulkan maklumat mengenainya.

"Kenaikan kadar inflasi makanan akan menambah lagi tekanan ke atas perbelanjaan keluarga, dan tidak mungkin ada sebarang penambahbaikan dalam pemikiran pengguna, mengenai kewangan peribadi dalam tempoh terdekat," katanya. - AGENSI

Berita Harian X