DIYARBAKIR: Lapan pegawai polis Turki cedera hari ini selepas sebuah kenderaan dipercayai berisi bom meletup di tepi jalan sewaktu bas yang dinaiki mereka melalui lebuh raya di wilayah tenggara Diyarbakir.
Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu berkata dua orang suspek ditahan dan dipercayai bertanggungjawab dalam letupan itu.
"Terdapat letupan dalam kenderaan yang diletakkan pada jam 5:10 pagi (waktu tempatan) ketika kenderaan polis sedang menuju ke Diyarbakir," katanya.
Pejabat gabenor Diyarbakir bagaimanapun berkata, bom itu tidak mencederakan sesiapa, tetapi sembilan orang yang berada di dalam bas berperisai dibawa ke hospital untuk pemeriksaan.
Difahamkan, letupan itu berlaku berhampiran pasar ternakan kira-kira 10 kilometer (km) di selatan pusat Diyarbakir, bandar terbesar di wilayah itu.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab.
Sebelum ini, militan Kurdish, pihak berhaluan kiri dan militan melakukan semua serangan bom di Turki.
Bulan lalu, sebutir bom membunuh enam orang dan mencederakan berpuluh-puluh orang di bandar terbesar Turki, Istanbul dan puluhan suspek termasuk seorang wanita Syria, telah ditahan.
Turki pada ketika itu menyalahkan militan Kurdish namun tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab, malah Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dan Pasukan Demokratik Syria (SDF) pimpinan Kurdish juga menafikan pembabitan itu.
PKK melancarkan pemberontakan terhadap negara Turki pada tahun 1984 dan sebahagian besarnya tertumpu di tenggara Turki yang kebanyakannya Kurdish.
Lebih 40,000 orang juga terbunuh dalam konflik itu.
Turki, Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) menyenaraikan mereka sebagai organisasi pengganas. - REUTERS