Jumaat, 7 Oktober 2022 | 8:28pm
Britain merekodkan suhu tertingginya melebihi 40 darjah Celsius pada 19 Julai lalu. - Foto BERNAMA
Britain merekodkan suhu tertingginya melebihi 40 darjah Celsius pada 19 Julai lalu. - Foto BERNAMA

Banyak kematian kalangan warga emas England akibat gelombang haba

LONDON: England menyaksikan angka kematian tertinggi akibat gelombang haba tahun ini sejak rekod bermula pada 2004, kata pegawai kesihatan hari ini, berikutan peningkatan suhu musim panas yang menyaksikan paras tertinggi sepanjang masa.

England merekodkan 2,803 lebihan kematian dalam kalangan individu berumur 65 tahun ke atas ketika gelombang panas pada musim panas tahun ini, berkemungkinan disebabkan oleh komplikasi yang timbul daripada kepanasan melampau, kata Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) dalam kenyataan.

Bagaimanapun angka itu tidak termasuk kematian akibat COVID-19.

"Anggaran ini menunjukkan dengan jelas bahawa suhu tinggi boleh membawa kepada kematian pramatang bagi mereka yang terdedah.

"Cuaca panas yang berpanjangan mempunyai risiko khusus untuk golongan warga emas, mereka yang mempunyai masalah jantung dan paru-paru atau orang kurang upaya pembelajaran dan penyakit Alzheimer," kata Ketua Pegawai Saintifik UKHSA, Isabel Oliver.

Britain merekodkan suhu paling tinggi dalam rekod, dengan melebihi 40 darjah Celsius di timur England pada 19 Julai.

Sementara itu, menurut saintis, gelombang haba menyebabkan kebakaran di kawasan berumput yang besar, memusnahkan harta benda dan infrastruktur pengangkutan yang tertekan, dibuat sekurang-kurangnya 10 kali lebih berkemungkinan disebabkan perubahan iklim.

Sekitar 1,000 lebihan kematian direkodkan dalam kalangan mereka yang berusia 65 tahun antara 17 dan 20 Julai, kata UKHSA, sementara bagi tempoh 8 hingga 17 Julai, ia merekodkan 1,458 lebihan kematian.

Ahli perangkaan menggunakan 'lebihan kematian', istilah yang menjadi lebih biasa ketika wabak COVID-19, untuk menggambarkan jumlah kematian yang melebihi angka kematian biasa diperhatikan untuk masa tertentu dalam setahun.

Walaupun kematian memuncak semasa gelombang panas, kebanyakan hari pada musim sejuk biasanya menunjukkan jumlah kematian yang lebih tinggi berbanding musim panas, kata Ketua Analisis Kematian, Sarah Caul. - REUTERS

Berita Harian X