Jumaat, 7 Oktober 2022 | 9:16am
 Foto fail AFP
Foto fail AFP

Denda langgar akta persaingan ke atas Apple dikurangkan

PARIS: Mahkamah Perancis semalam mengurangkan lebih 700 juta euro (RM3.18 bilion) daripada 1.1 bilion euro (RM5 bilion) denda yang dikenakan ke atas Apple, gergasi teknologi Amerika Syarikat pada 2020.

Menurut sumber yang rapat dengan kes itu kepada AFP, pihak berkuasa persaingan Perancis mengenakan denda itu yang juga jumlah terbesar pernah direkodkan selepas membuat kesimpulan bahawa firma terbabit menekan penjual bebas produk Apple dengan menggalakkan pembeli ke premisnya sendiri dan peruncit pilihan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Paris menyemak keputusan itu dan mengurangkan sebanyak 728 juta daripada denda dikenakan, bermakna Apple masih perlu membayar 370 juta euro (RM1.6 bilion).

Menurut Apple denda itu tidak adil dan memberitahu AFP keseluruhan aduan berkenaan perlu dibatalkan.

"Kami beranggapan keputusan itu sepatutnya dibatalkan sepenuhnya dan merancang untuk merayu kepada Mahkamah Agung Perancis.

"Keputusan itu membabitkan amalan yang telah berlalu lebih 10 tahun, malah pihak berkuasa persaingan Perancis telah mengiktiraf ia sebagai tidak lagi berkuat kuasa," kata firma itu kepada AFP dalam satu kenyataan.

Kes permulaan terdiri daripada tiga aduan yang dikaitkan dengan satu daripadanya ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan dua lagi dikekalkan.

Sumber yang rapat dengan kes itu yang tidak mahu dinamakan mengesahkan jumlah dan perincian keputusan kes berkenaan.

Mahkamah Rayuan Paris memberitahu AFP keputusan akan diumumkan hari ini. - AFP

Berita Harian X